PULAU PINANG, 10 OKTOBER 2026 – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. hari ini meraikan pembukaan rasmi Mforce Smartshop Zi Yang Motor Sdn. Bhd. yang berlangsung di Kepala Batas, selain memperkenalkan VOGE DS800X RALLY secara rasmi di pasaran Malaysia.
Majlis pembukaan rasmi ini turut dihadiri oleh encik Tan Soo Ching, Pengarah Urusan Zi Yang Motor Sdn. Bhd., Dato’ Sri Tan Lean Heah, Pengarah Urusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., encik Tan Zi Yang dan encik Ooi Guak Im, masing-masing ialah Pengarah Zi Yang Motor Sdn. Bhd., encik Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., encik Tang Hai Teik, Pengurus Kanan Jualan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. serta INSP Roslan Bin Mat, Ketua Polis Balai Tasek Gelugor, SPU Pulau Pinang.
Turut hadir ialah rakan niaga Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., rakan-rakan media, para tetamu kehormat, barisan pengurusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. serta rakan-rakan daripada kelab motosikal.
Acara ini turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman tunggangan menerusi sesi pandu uji yang menampilkan beberapa model motosikal.
Selain sesi pandu uji, acara pembukaan ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama EZI Ray-01 seterusnya topi keledar, sarung tangan serta jaket berjenama LS2 dan YHPro Box.
VOGE DS800X RALLY kini rasmi berada di pasaran Malaysia selepas diperkenalkan pada 29 Mei 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), menerusi penganjuran Mforce MotoXperience 2026 bersempena acara Malaysia Bike Show.
Ditawarkan pada harga RM39,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, VOGE DS800X RALLY hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Onyx Black, Zenith White dan Flash Yellow. Model ini direka dengan karakter ‘adventure’ dan ‘rally’, selain dilengkapi pelbagai ciri yang menyokong tunggangan di atas jalan raya mahupun laluan mencabar.
VOGE DS800X RALLY dikuasakan enjin 2-silinder, 8-injap, penyejukan cecair*berkapasiti 798 cc yang menghasilkan kuasa maksimum 70 kW pada 9,000 rpm serta tork maksimum 81 N.m pada 6,500 rpm. Enjin ini mempunyai nisbah mampatan 12:1 dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), manakala sistem penghidupan menggunakan penghidup elektrik. Kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan rantai bersama klac jenis sliding dan transmisi 6-kelajuan.
Bagi memastikan keupayaan pengendalian yang sesuai dengan karakter adventure rally, VOGE DS800X RALLY dilengkapi suspensi hadapan terbalik yang boleh dilaraskan, manakala suspensi belakang turut boleh dilaraskan mengikut keperluan tunggangan. Sistem membrek pula menggunakan cakera hadapan berdiameter 310 mm dan cakera belakang berdiameter 240 mm, disokong sistem ABS yang boleh dinyahaktifkan.
VOGE DS800X RALLY menggunakan tayar 90/90-R21 di bahagian hadapan dan 150/70-R18 di bahagian belakang, masing-masing dipadankan dengan jejari spoke. Gabungan roda bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang ini melengkapkan karakter adventure rally model tersebut.
Dengan ukuran 2,390 mm panjang, 860 mm lebar dan 1,399 mm tinggi, VOGE DS800X RALLY mempunyai jarak roda 1,576 mm, ketinggian tempat duduk 850 mm dan kelegaan tanah 220 mm. Berat kering motosikal ini ialah 213 kg, manakala kapasiti tangki bahan api adalah 24 liter.
VOGE DS800X RALLY turut dilengkapi pelbagai ciri moden termasuk paparan TFT, port pengecas USB Type-A dan Type-C, sistem kemasukan kunci mekanikal serta suis keselamatan tongkat sisi. Sistem pencahayaan menggunakan LED bagi lampu isyarat, lampu hazard, lampu utama dan lampu belakang.
Bagi meningkatkan kawalan ketika menunggang, model ini dilengkapi TCS yang boleh dinyahaktifkan serta dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport. Sistem TPMS turut disediakan bagi memantau tekanan tayar.
Antara ciri tambahan yang ditawarkan ialah kamera papan pemuka hadapan, cermin hadapan yang boleh dilaraskan secara manual, tempat duduk dan pemegang tangan berpemanas dengan tiga tahap pelarasan, serta sambungan aplikasi pihak ketiga Carbit Ride.
Untuk menyokong keperluan perjalanan jarak jauh, VOGE DS800X RALLY turut dilengkapi satu kotak atas dan dua kotak sisi. Model ini juga menerima kelengkapan seperti Lampu sorot, pelindung tangan dan palang pelindung, melengkapkan lagi penampilannya sebagai sebuah motosikal ‘adventure’ yang bersedia untuk pelbagai keadaan tunggangan.
Dengan gabungan enjin 798 cc dua silinder, roda jejari 21 dan 18 inci, suspensi boleh laras, tangki bahan api 24-liter serta pelbagai ciri bantuan dan keselesaan, VOGE DS800X RALLY menawarkan pakej ‘adventure rally’ yang lengkap untuk penunggang yang mahukan keupayaan dan keselesaan dalam satu motosikal.
Dengan setiap pembelian VOGE DS800X RALLY, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.
Selain itu, para pembeli juga boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh VOGE Malaysia.
Tertakluk kepada terma dan syarat.
