KUALA LUMPUR, 30 JULAI 2025 – Empat dekad yang lalu, bermulanya karier penyanyi legenda bertubuh genit dengan suara lunak yang mula mencorakkan dunia muzik tanah air. Hari ini, beliau masih di sini. Masih membara dan masih berbisa.
Sheila Majid menyambut 40 tahun perjalanan beliau dalam dunia seni dengan sebuah karya baharu yang cukup berani bertajuk Moving On. Lagu ini bukan sekadar single baharu. Ia adalah refleksi sebuah perjalanan, satu bentuk penyembuhan dan satu kenyataan bahawa Sheila akan terus melangkah, bukan ke belakang tetapi terus mara ke hadapan.
Moving On berdansa atas tapak kaki era disko tetapi nadinya adalah nadi masa kini. Lagu ini sarat dengan tenaga yang menusuk hingga ke jiwa yang lebih dalam. Ia mengajak generasi kita melepaskan beban, memeluk keyakinan dan bergerak mengikut rentak sendiri.
“Saya tidak kejar trend. Saya mengejar rasa, mengejar jiwa,” kata Sheila. “Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan yang dunia kini telah berubah, dan saya pun berubah sama. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya.”
Selepas pandemik, Sheila menyedari bahawa lagu-lagu lamanya terutama sekali Sinaran kembali dengan nafas baharu. Ramai peminat muda mengenali dirinya buat pertama kali dan ini memberi inspirasi buat Sheila untuk menulis lirik yang boleh merapatkan dua dunia.
Beliau kemudian bergabung tenaga dengan Hyuk Shin, penerbit muzik terkenal dari Korea Selatan untuk membina satu arah muzik yang segar. Sheila sendiri menyediakan mood board untuk Hyuk Shin, penuh dengan rujukan dari zaman Donna Summer dan Diana Ross. “Saya memang hidup di generasi 80-an”, katanya. “Groove zaman itu memang sentiasa dekat di hati saya.”
Dan ironi paling indah, muzik seperti itu kini sedang dinikmati semula oleh generasi baharu. Dikenali sebagai City Pop, irama ini bukanlah asing bagi Sheila kerana rentak ini adalah rumah asalnya.
“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah,” kata Kim Lim daripada Universal Music Malaysia. “Dan Moving On membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar.”
Dalam dunia hari ini yang dipenuhi tekanan untuk menjadi yang sempurna, Moving On hadir sebagai satu pelukan yang membebaskan. Lagu ini berkisarkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital. Dan di dalam karya ini, Sheila Majid kekal seperti yang kita kenal, seorang yang lembut tetapi kuat, halus tetapi berani. Seorang legenda yang terus hidup dalam nada-nada baharu.
