(HIBURAN) AKB48 Lancar Ujibakat Generasi Kedua KLP48 “BLOOM” di Malaysia

Spread the love

Kuala Lumpur, 7 Julai 2025 – Peluang istimewa kini terbuka kepada semua gadis muda yang berbakat dan bercita-cita untuk menjadi bintang pentas. Kumpulan idol terkenal dari Jepun, AKB48, kini melancarkan ujibakat untuk mencari ahli baharu bagi kumpulan adik mereka di Kuala Lumpur, iaitu KLP48.

Ujibakat Generasi Kedua KLP48 yang dinamakan “BLOOM” kini dibuka secara rasmi di Malaysia. Program pencarian bakat ini diadakan susulan kejayaan luar biasa kumpulan KLP48 sejak penubuhannya setahun lalu.

Populariti mereka bukan sahaja melonjak di Malaysia, malah telah mendapat perhatian di Jepun, di mana beberapa ahli telah dijemput membuat persembahan.

Ujibakat ini terbuka kepada semua gadis berumur antara 13 hingga 23 tahun tanpa mengira warganegara. Ia merupakan peluang keemasan bagi mereka yang ingin berkembang sebagai seorang idol di bawah naungan AKB48, yang kini memasuki tahun ke-20 dan telah diiktiraf sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia oleh Guinness World Records.

Permohonan dibuka mulai 1 Julai hingga 1 Ogos 2025. Calon yang berminat perlu menghantar sebuah video berdurasi maksimum 90 saat yang menampilkan nyanyian atau tarian mereka melalui laman web rasmi klp48audition.com.

Selain itu, maklumat peribadi serta dokumen yang diperlukan juga perlu disertakan. Calon yang disenarai pendek akan dijemput menghadiri sesi saringan secara bersemuka di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Ogos 2025.

Mereka yang berjaya akan melangkah ke pusingan akhir ujibakat yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 September 2025.

KLP48 merupakan kumpulan adik ke-10 AKB48 yang ditubuhkan di luar Jepun dan diuruskan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd dengan kebenaran rasmi daripada pemegang lesen, Superball Co Ltd.

KLP48 menyertai rangkaian kumpulan adik AKB48 yang lain seperti JKT48 di Jakarta, BNK48 di Bangkok, MNL48 di Manila, AKB48 Team SH di Shanghai, AKB48 Team TP di Taipei, SGO48 di Ho Chi Minh City, CGM48 di Chiang Mai, DEL48 di Delhi dan MUB48 di Mumbai.

Menurut pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Jun Huei, sepanjang tahun lalu, ahli generasi pertama KLP48 telah berjaya menawan hati peminat dengan persembahan bertenaga dan interaksi yang mesra.

“Kami amat teruja untuk memulakan pencarian ahli generasi kedua yang akan terus mencorakkan masa depan KLP48 dan meneruskan legasi AKB48. Kepada semua yang ingin mencuba, kami ucapkan semoga berjaya dan terus berusaha!”

Orang ramai yang mengenali individu berbakat dan bersemangat dalam bidang seni persembahan digalakkan untuk mencalonkan atau menggalakkan mereka menyertai ujibakat ini.

Ia mungkin menjadi langkah pertama ke arah kehidupan yang penuh perubahan dan kejayaan. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun, kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga adalah diwajibkan.

Ikuti perkembangan terkini mengenai KLP48 melalui akaun rasmi mereka di TikTok (@klp48_official), serta di Instagram dan Facebook (@KLP48official).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *