Kuala Lumpur, 12 September 2024 – Siap sedia semua peminat Alan Walker di Malaysia! DJ dan penerbit terkemuka antarabangsa itu hari ini mengumumkan bakal membuat persembahan pada 8 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur, yang merupakan persembahan eksklusif di Asia Tenggara.
Pengumuman ini susulan pembatalan persembahan beliau di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun lalu, yang juga sebahagian daripada ‘Walkerworld Asia Tour Pt.1’ akibat ‘perkara yang tidak dapat dielakkan’ di luar kawalan pemuzik itu. Persembahan akan datang ini adalah lebih istimewa. Ia satu bentuk ekspresi penghargaan Alan kepada para peminat yang setia menyokong di sisinya serta menunaikan janji membuat persembahan di Malaysia.
Bagi menjernihkan keadaan berkenaan pembatalan persembahan sebelum ini, pihak pengurusan Alan memaklumkan ia adalah satu keputusan yang sukar selepas dikemukakan beberapa isu kritikal menjelang tarikh persembahan. Laporan terperinci yang dilaksanakan oleh pihak ketiga mendedahkan kebimbangan tahap keselamatan melibatkan penyediaan pentas serta isu pembayaran oleh vendor-vendor tempatan dari persembahan lalu. Atas dasar melindungi keselamatan dan kesejahteraan para peminat Alan berpegang teguh pada standard profesionalisme dalam industri, keputusan pembatalan persembahan tersebut meskipun berat, terpaksa dibuat.
Sebagai tanda komitmen kepada para peminatnya, DJ-penerbit berusia 27 tahun itu akan membiayai sendiri konsert yang dinamakan ‘Walkerworld Asia Tour Pt. II’ ini. Beliau juga tidak hanya mahu persembahan tergendala dahulu dapat direalisasikan, malah memastikan vendor-vendor tempatan yang terlibat dengan persembahan baharu ini menerima pampasan sewajarnya sekali gus mencipta pengalaman berharga untuk para peminat. “Dari lubuk hati saya yang terdalam, saya mahu para peminat di Malaysia tahu yang mereka amat dihargai dan dihormati. Jika pihak lain gagal menghargai mereka, saya akan memastikan mereka menerima penghargaan itu. Ia bukan sekadar konsert – ia sebuah pelunasan janji, meneguhkan perhubungan dan tanda kasih sayang saya sebagai seorang anak seni yang ikhlas menghargai para peminat,” kongsi Alan Walker.
Menyedari ramai pemegang tiket untuk persembahan Jun lalu masih menunggu kemas kini daripada penganjur sebelum ini berhubung pembayaran semula, Alan dan pengurusannya akan menggantikan mereka dengan tiket ke konsert baharu serta menawarkan diskaun eksklusif 15% untuk rakan-rakan mereka yang ingin membeli tiket persembahan akan datang.
Terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Darkside, Faded, dan Alone, Alan antara DJ-penerbit terkemuka dunia serta telah berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi berprofil tinggi seperti Ava Max, Noah Cyrus, Sia, Bruno Mars, dan Coldplay. Album keempatnya yang juga terkini, Walkerworld, dilancarkan pada 2023. Persembahan ini akan dipromosikan oleh Livescape, yang sebelum ini terkenal dengan penganjuran festival muzik seperti It’s The Ship dan Rockaway.
Maklumat Tiket
Tiket untuk persembahan baru kini dijual di All-Access (www.all-access.io/walkerworldmy) pada harga RM198 Early Bird dan RM120 bagi untuk mereka di bawah umur 18 tahun. Konsert ini dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun keatas. Hadirin yang berumur 18 tahun kebawah harus ditemani oleh penjaga berumur 19 tahun keatas.
Pemegang tiket sedia ada dikehendaki menukar tiket mereka, dan jika layak, menebus diskaun 15% untuk tiket tambahan di All-Access sebelum 26 September 2024 untuk ke persembahan baharu. Selain itu, dengan susunan pentas baru, pemegang tiket VIP dan Cat 1 sedia ada akan ditawarkan laluan masuk pantas khas (fast-track), sekali gus dapat mendahului ke ruang depan zon untuk menikmati persembahan akan datang.
Capaian Sosial
Laman Web Tiket: www.all-access.io/walkerworldmy
IG: @allaccessio