(HIBURAN) AMARAN ABIGAIL BUAT PLAYER DI LUAR SANA DALAM ‘TRAPS’

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 April 2022 – Namanya mungkin jarang-jarang kedengaran di media massa, namun bagi si cantik molek, prodigi muzik kelahiran Kuala Lumpur, Abigail Chew atau lebih dikenali dengan panggilan Abigail, musibah pandemik COVID-19 yang melanda dunia bukanlah penghalang bagi diri dan cita-citanya.

“Ternyata, apa yang berlaku pada dunia ada kesannya ke atas semua. Manakan tidak, proses pembikinan lagu terpaksa ditunda, studio rakaman ditutup dan keadaan agak tidak menentu. Namun saya percaya, karya-karya baru dalam muzik pasti muncul dan menyusul dengan deras,” kata gadis berusia 22 tahun ini.

Terbaharu, Abigail hadir dengan single keduanya berjudul ‘Traps’, ciptaan beliau sepenuhnya yang turut menampilkan rapper terkenal, Lil J, dan diterbitkan oleh label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.

“Saya sememangnya gemar menghasilkan lagu dan melodi sendiri. Saya cuma pilih jenis beat, bermula dari situ dan berpuas hati dengan hasilnya,” kata Abigail.

Sejak kecil, Abigail telahpun didedahkan kepada muzik, dan cintanya terhadap bidang itu bermula ketika beliau melakukan persembahan di sekolah dan beberapa buah acara.

“Saya masih lagi ingat perasaan apabila pancaran lampu sorot seakan memberi saya ‘nyawa’ ketika berada di atas pentas, kerana ini yang saya mahukan.

“Dan terima kasih buat pihak Rocketfuel kerana memberi saya kebebasan untuk berkarya dan menghasilkan muzik cara saya, semoga ia menjadi landasan untuk saya terus berkembang sebagai seorang artis,” jelasnya.

Menurut siswazah jurusan psikologi tahun ketiga ini, tempoh pandemik banyak membuka matanya terhadap banyak perkara, terutamanya dalam bidang muzik.

“Saya sememangnya gemar bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik, sedari remaja lagi saya sudah mula menulis dan menghasilkan muzik yang sering membahaskan tentang hal semasa, seperti isu masalah mental dalam single pertama berjudul ‘Status Quo’.

Melalui karya yang diciptanya pada kali ini, Abigail menceritakan tentang perihal remaja mahupun dewasa yang sering berlaku dalam mana-mana perhubungan.

“Ia kisah si perobek hati atau dalam bahasa mudahnya player, baik lelaki ataupun perempuan. Pernah tak berdepan dengan situasi di mana ‘si dia’ hadir dalam hidup dengan serba-serbi sempurna dan tiba-tiba menghilang begitu saja? Bayangkanlah perasaan seseorang yang termakan dengan hati budi kekasihnya dan akhirnya diri sendiri dipersalahkan?

“Dalam Traps saya cuba merungkai permasalahan tersebut yang merangkumi setiap proses iaitu penipuan, manipulasi dan obsesi.

Apabila didengar, lagu pop ini sangat catchy rentaknya dengan elemen misteri yang pasti membuat pendengar terbuai melalui jalan ceritanya yang menarik, ditambah pula dengan bahagian rap yang dinyanyikan oleh Lil J, ternyata menambah variasi terhadap Traps.

“Di awal pembikinan Traps, saya dapat rasakan ada sesuatu yang kurang. Jadi saya pelawa Lil J untuk memberi buah idea dengan menambah dimensi dalam lagu tersebut. Dia berjaya mencipta verse yang kena dengan ‘selera’ saya.

“Proses rakaman berlaku begitu pantas, kurang dari 2 jam saja di studio MFMF. Saya suka dengan suasana di dalam studio kerana vibe yang ada sangat selesa ketika bekerja,” tambahnya.

Menggembirakan, penuh konteks dan adakalanya murung – begitulah bagaimana Abigail menerangkan muzik cara beliau, katanya, “Semua bergantung pada lagu yang saya hasilkan, sama ada gembira, sedih atau marah. Tiada yang in between, sama seperti perasaan saya.

Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, berpendapat: “Abigail adalah artis muda penuh berbakat dengan banyak idea yang kreatif. Kami memberikan sepenuh kebebasan padanya dalam berkarya kerana percaya dengan bakat yang dia ada.

“Saya percaya Traps bakal diterima baik oleh semua terutamanya golongan muda kerana jenis muzik generasi masa kini yang dibawanya.

Muzik adalah bahasa yang universal. Sesebuah karya itu pasti ‘sampai’ ke jiwa pendengar jika kena dengan formulanya. Menurut Abigail: “Saya hanya mahu mencipta lagu sendiri sejujurnya, banyak lagi yang ingin saya kongsikan, dan ramai lagi yang ingin saya berkolaborasi bersama.

“Harapan saya agar sesiapa yang mendengar Traps dapat fahami maksudnya dan turut nyanyi bersama. Saya mahu lagu ini menjadi tema buat mereka yang terasa ‘diperangkap’, dan semoga semua masuk ke dalam Traps saya apabila mendengarnya!

Lagu ‘Traps’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik video single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *