Kuala Lumpur, 15 Oktober 2024 – Selepas mencipta fenomena pada tahun lepas, Astro kini kembali melangkaui sempadan penceritaan industri hiburan tempatan dengan mempersembahkan kisah yang berani dan taboo menerusi siri premium Astro Originals terbaharunya, ‘Project; Exit’. Siri terbitan Astro Shaw bersama Telltale Studios Sdn Bhd ini mengisahkan perjalanan empat orang remaja yang berkomplot untuk mencari jalan keluar daripada pusat pemulihan akhlak. Siri ini bakal bersiaran pada 1 November 2024, jam 9 malam di Astro Premier (saluran 110) dan Astro Citra (saluran 108).
‘Project; Exit’ membawa topik remaja di pusat pemulihan akhlak yang berhadapan dengan pelbagai isu termasuk isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan di Malaysia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun 2023, 1 daripada 4 remaja Malaysia bergelut dengan kemurungan dan 1 daripada 10 pernah berdepan dengan percubaan membunuh diri, dengan majoritinya adalah remaja perempuan.
‘Project; Exit’ yang merupakan daripada “Project Universe”, mengisahkan tentang empat remaja merancang untuk melarikan diri dari tempat yang menyeksa mereka secara mental. Walaupun berhadapan dengan trauma masing-masing dalam kehidupan, watak-watak ini tetap berpegang pada harapan, menghadapi ketakutan dalaman, membentuk pakatan yang tidak dijangka dengan rakan-rakan banduan dan menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mencari kebebasan. Dalam persekitaran yang mencabar dan kawalan yang ketat, perjalanan mereka memiliki momen-momen yang menyentuh hati, serta pengkhianatan sepanjang siri ini yang menjadi sorotan utama naratifnya.
Siri 6 episod ini mengikuti perjalanan Jannah, seorang perempuan yang dihantar ke pusat pemulihan akhlak dipanggil INSAN selepas gagal dalam percubaan untuk membunuh dirinya. Di INSAN, dia menemui diari arwah bapanya yang membongkar segala rahsia mengenai tempat tersebut, serta rancangan untuk melarikan diri daripada kakitangan yang menjaga dan kawalan ketat yang ada. Dia bertemu Hadi, seorang lelaki dengan Fibrosis sista, dan dua rakan lain bernama Ucop dan Amy yang berkomplot untuk bersama-sama melarikan diri berdasarkan diari arwah bapanya yang dulu juga pernah merancang untuk melarikan diri di tempat yang sama.
Idea asal siri premium ini dicetuskan oleh Zulaikha Zakaria, juga merupakan showrunner dan pengarah, yang menyambung karyanya daripada kejayaan siri premium ‘Projek: Anchor SPM’ dan ‘Projek: High Council’. Siri penuh saspens ini dibintangi oleh Shasha Abedul (Jannah), Mierul Aiman (Hadi), Naim Daniel (Ucop), Kimberly Chuah (Amy), Nabila Huda (Ibu Zan), Tengku Nur Kamalia (Izzah), Farah Ahmad (Salina) dan ramai lagi.
Penerbit Eksekutif ‘Project; Exit’ juga merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, “Project: High Council dan Project: Anchor SPM adalah sebahagian daripada ‘Project Universe’, dan ia telah mencapai kejayaan luar biasa, sekali gus mengukuhkan genre ‘coming-of-age’ dalam karya tempatan sebagai salah satu genre yang digemari oleh penonton. Project; Exit meneruskan legasi ‘Project Universe’, dan kali ini menumpukan pada kisah pelajar dengan mengetengahkan isu kesihatan mental. Kami memilih untuk mengangkat isu sosial ini kerana kita semua dapat melihat peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan generasi muda. Siri premium ini adalah usaha kami, bukan sahaja untuk menghiburkan, tetapi juga untuk membangkitkan perbincangan dalam kalangan penonton. Kami mengharapkan Project; Exit mampu menjadi pemangkin perubahan dan mendorong penonton untuk berdiri bersama menyokong generasi muda kita.”
Mengulas tentang peranannya dalam menyambung francais popular ini, pengarah ‘Project: EXIT’, Zulaikha Zakaria berkata, “Seiring dengan pandemik COVID-19, saya terinspirasi untuk mencipta Project; Exit sebagai respons terhadap cabaran mental yang dihadapi oleh ramai di sekitar saya. Walaupun perbincangan mengenai isu kesihatan mental semakin meningkat, ia masih merupakan topik sensitif di Malaysia. Matlamat saya adalah untuk meneroka isu ini dengan cara yang memberi makna tanpa menimbulkan ketakutan dalam kalangan penonton. Perjalanan mengarahkan projek ini mempunyai banyak cabaran, terutamanya dalam menyampaikan tema yang berat sambil mengambil kira emosi dan pengalaman lalu pelakon saya. Saya berharap Project; Exit dapat menggalakkan penonton untuk mendalami topik kesihatan mental, sekaligus membina pemahaman dan empati terhadap mereka yang berjuang dengan isu serupa. Bersama-sama, kita boleh belajar untuk menyokong satu sama lain dengan lebih baik.”
‘Project; Exit’ turut disokong dengan inisiatif promosi Astro dalam memanfaatkan penggunaan teknologi AI dengan memberikan peranan kepada barisan pelakon utama ‘Project; Exit’ untuk mengambil alih platform media sosial X rasmi Astro Gempak dengan menawarkan sokongan dan dorongan yang diperibadikan kepada pengguna. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan hubungan yang lebih erat dan memberi ketenangan, sekaligus membina suasana dalam talian yang lebih positif dan berempati kepada semua. Selain itu, penonton boleh melayari www.gempak.com/project sebagai rujukan berkenaan siri ini atau jika memerlukan bantuan yang berkaitan dengan kesihatan mental.
Eksklusif bagi penggemar siri premium Astro Originals, Bahagian 1 siri ‘Project; Exit’ yang merangkumi episod 1 hingga 4 akan mula bersiaran pada 1 November 2024 secara sekaligus menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti box, Astro GO dan sooka. Manakala Bahagian 2 yang merangkumi episod 5 dan 6 akan bersiaran pada 15 November 2024 di platform yang sama. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, X, Astro Gempak dan Astro Shaw dengan menggunakan tanda pagar #ProjectEXIT dan #AstroOriginals.
Daftar sekarang untuk tawaran masa terhad Astro Baharu, JUALAN JIMAT BESAR dengan harga serendah RM41.99/sebulan serta pemasangan percuma*. Nikmati hiburan terbaik, dalam satu tempat! Layari astro.com.my bagi info lanjut untuk melanggan
*Tertakluk pada terma dan syarat.