Sebaik mengikat kontrak bersama Universal Music Malaysia yang diberi kepercayaan untuk mengurus karier beliau sejak beberapa bulan lalu, nampaknya Fazura tidak mempersiakan ruang dan ‘rezeki’ yang diberikan.
Hal ini kerana pada saat khalayak masih lagi menikmati lagu-lagu kolaborasinya bersama Estranged (Hancur Aku), Jason Dy (Nothing Like Pag Ibig / Nothing Like Cinta), Dan terbaru bersama Fattah Amin untuk lagu “Cinderella”, Fazura kini bersedia melancarkan koleksi singlenya sendiri.
Bukan satu, tetapi beliau memilih untuk melancarkan dua single secara serentak yang akan dapat dinikmati khalayak pada 16 Jun ini.
Dua single tersebut adalah Bisa Apa dan Bangun. Menariknya, kedua-dua hit tersebut memiliki keistimewaan dan kisah tersendiri.
Bisa Apa merupakan hasil penuh karyawan terkenal Indonesia iaitu Tantra Numata dan Mhala Numata dan diproduksi sepenuhnya di Indonesia termasuk proses mastering yang dihasilkan di Bandung.
Menjadi salah sebuah runut bunyi dalam drama rantaian fenomena Hero Seorang Cinderella, Bisa Apa dibikin khusus buat Fazura yang terkesan boleh didengar pada penyampaian dan lenggok vokalnya.
Dibalut dalam ritma balada yang cukup indah dengan permainan banyak instrumen termasuk gesekan cello dan biola, Fazura mendendangkan lagu ini dengan cukup baik dan Bisa Apa dapat ‘dirasa’ menusuk ke dalam hati.
“Pertama kali mendengar material ‘raw’ yang dihantar, saya terus jatuh cinta dengan lagu ini.
“Bisa Apa seperti mempunyai satu tarikan yang tersendiri dari segi susunan muzik dan liriknya,” ujar Fazura teruja.
Berbeza dengan Bangun yang dihasilkan sepenuhnya oleh karyawan Malaysia, single ini berentak ‘catchy’ dan berbaur inspirasi.
Dihasilkan oleh Ilyahida selaku komposer, Ruviyamin sebagai arranger dan Ahmad Kemat Khair pada posisi produser, Bangun begitu mudah dikaitkan dengan kehidupan Fazura yang begitu positif.
“Bangun merupakan sebuah lagu yang melambangkan kekuatan. Sebuah kejayaan itu boleh dikecapi jika kita sentiasa pilih untuk bangun dari setiap kajatuhan. Kajatuhan itu pada saya ada tersembunyi hikmah istimewa.”
“Jadi saya harap, semua yang mendengar lagu ini juga akan terus bangun biarpun berhadapan dengan banyak hal yang buruk dalam kehidupan,” ujar Fazura.
Untuk melengkapkan ‘kelahiran’ Bangun, sebuah klip video akan dihasilkan selepas sambutan Aidilfitri nanti. Merupakan duta kepada telefon pintar Neffos, tentulah jenama terkenal ini turut serta bertanggungjawab menjadikan klip video yang dihasilkan Fazura menjadi lebih menarik; di mana pemenang-pemenang dipilih akan membuat penampilan istimewa dalam klip video tersebut bersama Fazura.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong melahirkan rasa teruja dengan perkembangan positif dalam pengurusan karier nyanyian Fazura yang disifatkan sebagai agak ‘laju’.
“Kita baru menjalinkan kerjasama, namun pihak Universal bersama Fazura tidak hanya mengikat kontrak di atas kertas tanpa memberi sebarang hasil.
“Malah dalam tempoh tersebut, Fazura telah menjalin kolarasi dengan Jason dari Filipina dan kini muncul dengan sebuah single yang dibikin karyawan Indonesia iaitu Bisa Apa dan Bangun dari Malaysia.
“Sesungguhnya saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif kerana dia sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja tidak kira dari dalam atau luar negara juga orang baharu atau lama, asalkan ia membuahkan hasil yang baik,” jelas Kenny Ong.