(HIBURAN) BMW Group Malaysia mempersembahkan ‘Sometimes Feels Like Summer’, sebuah projek karya Ikram Haizammuri yang dibiayai BMW Shorties.

Spread the love

Kuala Lumpur, 9 September 2024 – BMW Shorties, inisiatif paling berprestij dan paling lama di Malaysia dalam penghasilan kandungan digital kreatif oleh BMW Group Malaysia, mempersembahkan ‘Sometimes Feels Like Summer’, sebuah projek kreatif terbaharu tajaan BMW yang sangat dinantikan, garapan Pemenang Hadiah Utama 2023, Ikram Haizammuri.

‘Sometimes Feels Like Summer’ (Adakala Terik Musim Tengkujuh) memaparkan sebuah kisah sarat emosi seorang gadis dalam perjalanannya menginjak alam dewasa sambil menelusuri liku-liku kehidupan dalam mencari identiti diri. Berlatarbelakangkan kawasan pembangunan luar bandar yang mana keindahan landskapnya sering dilitupi oleh cabaran, filem ini meneroka tentang keseimbangan yang tipis antara nilai-nilai tradisional dengan kecelaruan kehidupan remaja masa kini.

Ketika protagonis berada di ambang kedewasaan, beliau mendapati dirinya tertarik ke dalam dunia yang asing namun mengasyikkan dan menyaksikannya meneroka pelbagai aspek identiti diri, menggambarkan kerumitan kehidupan remaja masyarakat pinggiran.

Pengarah kelahiran Kuantan, Ikram Haizammuri merakamkan penghargaan beliau kepada BMW Shorties atas peluang berharga yang diberikan untuk berkongsi sudut pandangannya mengenai kisah yang dekat di hati masyarakat pinggiran, sebuah dunia yang dirasakan sering berkonflik dengan dirinya sendiri.

“Sejak awal, saya sedar bahawa filem ini bakal menjadi sebuah projek yang sangat peribadi untuk saya, yang diilhamkan oleh perjalanan universal dalam mencari identiti diri. Seperti kebanyakan karya saya sebelum ini, termasuk All Who Leave Go There, filem ini mengetengahkan tentang keinginan seseorang untuk memahami diri sendiri dan jurang realiti kehidupan yang dihadapi oleh golongan remaja di luar bandar. Saya amat berterima kasih kepada BMW Shorties kerana memberi saya platform untuk merealisasikan kisah ini, membolehkan saya berkongsi naratif yang bersifat peribadi dan dekat dengan semua. Sokongan mereka memberi peluang kepada saya untuk menjadikan visi ini sebuah projek yang benar-benar saya banggakan, dan saya berbesar hati dapat menyumbang kepada kepelbagaian suara yang diperjuangkan oleh BMW Shorties,” ujar Ikram.

Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kemampanan BMW Group Malaysia, berkata, “’Sometimes Feels Like Summer’ merupakan gambaran ringkas mengenai kisah dan realiti kehidupan di Malaysia. Karya ini adalah usaha kreatif yang dihasilkan dengan begitu indah sekali, merakamkan keindahan zaman remaja dan kerumitan menjadi dewasa yang seolah-olah sentiasa menolak kita ke hadapan, sama ada kita menginginkannya atau tidak. Selain itu, kisah ini berlandaskan naratif yang menyentuh nilai-nilai yang kami pegang di BMW Group Malaysia iaitu meraikan kepelbagaian suara yang membentuk masyarakat kita dan menyediakan platform untuk kisah-kisah ini disampaikan.”

Beliau menambah, “Setiap tahun, pemenang hadiah utama BMW Shorties terus melakar kejayaan dan memukau kami dengan kreativiti serta komitmen mereka terhadap penceritaan yang bermakna. Karya Ikram Haizammuri adalah bukti kuasa mengangkat bakat tempatan dalam membentuk masa hadapan industri kreatif Malaysia, dan kami berbesar hati dapat menyokong beliau serta bakat kreatif lain yang berani mengangkat naratif masyarakat kita yang belum diterokai, dengan menceritakan kisah mereka.”

BMW Shorties kembali pada tahun 2024 dengan tema, PULSE – untuk terus menggalakkan pencipta kandungan kreatif tempatan mendalami minat mereka dan mencari nadi semangat kreatif masing-masing.

Penyertaan untuk BMW Shorties 2024 dibuka dari sekarang hingga 30 September di www.bmwshorties.com.my. Maklumat lanjut mengenai pertandingan tahun ini dan perkembangan acara akan datang boleh didapati di laman web yang sama, atau di halaman Facebook rasmi BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties dan halaman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *