Kebolehan enam peserta terus diuji apabila mereka perlu menyampaikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan yang sarat dengan mesej dan pedoman berguna di samping cabaran untuk menjiwai bait-bait lirik yang disampaikan pada konsert minggu kelima program Ceria Popstar yang bersiaran pada hari Ahad, 9 Jun 2013 jam 11.30 pagi.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin berkata, “Kami sangat berbangga dengan pencapaian barisan finalis Ceria Popstar ini yang sentiasa menunjukkan bakat serba boleh mereka menyanyikan apa sahaja genre lagu. Tema yang dipilih pada minggu ini nyata jauh berbeza daripada minggu sebelumnya. Namun begitu, atas didikan dan latihan daripada tenaga pengajar profesional, mereka mampu mengejutkan para juri dan penonton dengan persembahan yang mantap pada setiap minggu.
Di samping hiburan yang kami bawakan, kami sentiasa mencuba untuk menyelitkan mesej-mesej dan nilai-nilai murni yang berguna untuk disemai di dalam diri kanak-kanak ini. Tema minggu kerohanian dilihat sebagai salah satu cara untuk mendidik mereka mengenai nilai kerohanian yang diselitkan melalui lirik dan penyampaian lagu. Ternyata pesanan yang tersurat dan tersirat di dalam lagu berjaya disampaikan oleh kesemua para peserta apabila kita dapat saksikan sendiri mereka mempersembahkan lagu pilihan dengan penuh perasaan dan emosi serta turut menyentuh hati kita dengan alunan suara yang cukup merdu lagi mengasyikkan”.
Konsert minggu kelima yang bertemakan ‘Minggu Kerohanian’ ini menyaksikan Abang Nabil kembali mengacarakan Ceria Popstar selepas Abang Aril menggantikannya buat sementara pada minggu yang lepas. Bertepatan dengan tema yang diketengahkan, konsert minggu ini juga turut menjemput seorang artis yang cukup berpengalaman di dalam industri nasyid tanah air iaitu Abang Nazri yang merupakan bekas anggota kumpulan Raihan sebagai juri jemputan.
Trisya terus memukau barisan juri dan penonton dengan kecomelannya dalam menyanyikan lagu ‘Ada Mu’ yang dipopularkan oleh Najwa Latif. Hairul dan Leen Berjaya memukau penonton dengan persembahan mereka apabila menyanyikan lagu ‘Ketika Cinta Bertasbih’ dari Melly Goeslow. Seterusnya, pentas terus dihangatkan dengan persembahan mantap oleh Flower Queen yang menyampaikan lagu ‘Sujud’ nyanyian KRU dan Mawi.
Razmil pula dilihat berjaya mempengaruhi emosi para penonton dan juri apabila air matanya menitis semasa menyanyikan lagu ‘InsyaAllah’ dari Maher Zain. Peserta yang sentiasa ceria dan aktif, Wafi tampil berbeza semasa menyampaikan lagu ‘Padamu Ku Bersujud’ dari Afghan dengan penuh kesyahduan. Vision Mate menutup tirai pentas Ceria Popstar dengan memberikan satu kejutan apabila Hasif turut menyanyi bersama Farisha menerusi lagu ‘Bila Waktu Telah Berakhir’ dari Opick.
Tuah dan rezeki Wafi di dalam Ceria Popstar hanya sampai di minggu kelima apabila Wafi diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu ini.
Jangan lupa untuk terus menyaksikan Ceria POPSTAR pada setiap hari Ahad bermula 5 Mei 2013, jam 11.30 pagi hanya di Astro Ceria (saluran 611). Untuk Kita Aje!