(HIBURAN) CHRONICALZ & DC WILLIE TERUS UNGGUL DENGAN ‘NOW CEMANE?’

Spread the love

Penyanyi rap muda berbakat, anak kelahiran Kuala Lumpur, ChronicalZ, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan buah tangan terbaharunya berjudul ‘Now Cemane?’, hasil nukilannya sendiri bersama komposer, DC Willie, dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia.

“Siapa sangka, budak Desa Pandan yang dahulunya suka berimaginasi kini mampu berdiri bangga sebaris dengan penyanyi-penyanyi rap mainstream yang ada di Malaysia.

“Namun kejayaan yang saya kecapi sekarang tidak mungkin terjadi tanpa sokongan keluarga, teman rapat dan CDN Squad yang padu selama ini,” kata ChronicalZ atau Alz, memulakan bicara.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ChronicalZ telah mula bertapak di kalangan komuniti hip hop tempatan pada tahun 2015, ketika usianya masih lagi 15 tahun.

“Saya ingin meraikan kejayaan yang saya peroleh pada hari ini dengan single yang saya tulis sendiri, manakala melodinya pula dicipta oleh sahabat saya, juga seorang rapper dan komposer, DC Willie.

Now Cemane? Menceritakan tentang pengorbanan kami dalam mengejar cita-cita dan impian sehingga berjaya berada pada tahap ini, dan paling membanggakan adalah apabila karya kami mendapat perhatian ramai dengan pulangan yang berbaloi,” kongsi jejaka berusia 22 tahun ini.

Menariknya, proses rakaman lagu ini berlaku secara spontan ketika mereka berdua sedang bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan, dan mengambil masa selama sehari untuk disiapkan.

“Inspirasi itu datangnya dari mana-mana sumber, dan tidak mengira tempat atau waktu.

“Sebagai seseorang yang meminati bunyi tang baharu dalam hip hop, kali ini saya cuba bereksperimen bersama DC Willie untuk mencipta bunyi yang belum pernah ada di Malaysia, maka terhasillah Now Cemane?” tambah Alz lagi.

Kalau pendengar amati, muzik rap yang dibawakan oleh ChronicalZ dan DC Willie nyata berbeza melalui elemen trap yang ditonjolkan, ini ditambah pula dengan cara nyanyian kedua-duanya yang penuh attitude, menambah ‘perisa’ terhadap lagu Now Cemane?

“Saya dan DC Willie mempunyai citarasa yang sama dalam muzik dan kami juga ada chemistry kerana dia faham apa yang saya kehendaki, setelah berbincang kami mahukan sesuatu yang baharu dan jarang dibawakan oleh mana-mana artis hip hop di Malaysia.

“Personaliti DC Willie yang yang agak gila-gila tetapi sangat komited dalam kerjanya memudahkan tugasan saya untuk berkarya,” kata Alz dalam nada teruja.

Bagi muzik video rasminya pula, ChronicalZ sekali lagi menggunakan khidmat pengarah, ATG, dengan menampilkan konsep dan ‘rasa’ Eropah melalui teknik penggambaran dan proses suntingan yang dijalankan tanpa perlu bergantung pada jalan cerita yang khusus.

“Sebagai seorang anak seni, cabaran utama saya adalah bagaimana hendak memperkenalkan muzik rap baharu kepada pendengar Malaysia, tiada yang mustahil jika kita percaya dan yakin dengan setiap karya yang kita hasilkan.

“Saya berharap agar penggemar muzik hip hop tempatan dapat enjoy apabila mendengar single Now Cemane?, hasil kami berdua ini dan dapat menerima bunyi trap yang kami bawakan, percayalah anda akan sukakannya!” ujar Alz mengakhiri bicara.

Lagu ‘Now Cemane?’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube ChronicalZ.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *