(HIBURAN) Cinta Abadi Ong Seong Wu Kepada 4,000 Peminat Pada Acara Perjumpaan Yang Pertama Di Malaysia

Spread the love

Kuala Lumpur, 25 Mac – Penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan yang mula mencipta nama bersama kumpulan Wanna One, Ong Seong Wu, kembali ke Malaysia sebagai artis solo. Kehadirannya kali ini adalah untuk menjayakan acara Ong Seong Wu First Fan Meeting In Malaysia (Eternity) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Ahad lalu.

Lebih daripada 4,000 penonton telah hadir pada perjumpaan pertama Ong Seong Wu itu. Menariknya, penonton yang hadir bukan setakat peminat tempatan, malah peminat Ong Seong Wu dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand turut hadir. Mereka sanggup berpanas dan berhujan demi untuk bertemu dengan artis kesayangan mereka itu.

Ong Seong Wu yang tampak kacak dengan busana denim itu memulakan acara dengan menunjukkan kebolehannya sebagai penari berbakat menerusi lagu Treasure, dendangan Bruno Mars. Sebaik selesai menari, Ong Seong Wu diberi sebuah tablet bagi membolehkan beliau berinteraksi dengan peminat-peminatnya. Untuk menjawab segala soalan daripada peminatnya, Ong Seong Wu memilih tiga aplikasi iaitu OngTalk, OngStagram dan OngPlay.

Kebanyakan peminatnya menghantar emoji lambang cinta kepadanya dan beliau juga sempat berkongsi cerita tentang fotonya yang dimuat naik dalam OngStagram. Peminat menjadi semakin teruja apabila Ong Seong Wu menampilkan koreografi yang pernah ditarikannya sewaku bersama anggota kumpulan Wanna One dulu.

Sebaik saja selesai segmen menjawab soalan daripada peminat, penyanyi tersebut pergi ke belakang pentas untuk menukar pakaian bagi segmen seterusnya. Ong Seong Wu kemudian kembali dengan memakai sut kelabu yang menyerlahkan ketampanannya sambil mendendangkan lagu berjudul Please. Ketika ini semua penonton terpukau mendengar suaranya yang merdu itu.

Acara kemudian diteruskan dengan aksi Ong Seong Wu menangkap bintang yang dipaparkan di skrin LED. Setiap bintang yang dipilih olehnya ada arahan yang perlu dilaksanakan. Antara yang perlu dilakukan oleh Ong Seong Wu adalah mengeluarkan anak patung dari clay machine untuk diberikan kepada peminat bertuah, meneka kopi yang betul tapi beliau terminum kopi yang masin.

Untuk pilihan bintang yang ketiga, beliau diarah untuk menyanyi lagu dari Malaysia. Untuk memudahkannya, penonton mahu Ong Seong Wu belajar menyanyikan lagu Rasa Sayang.

Menariknya, setiap kali selesai satu segmen akan diadakan cabutan bertuah yang dibuat oleh Ong Seong Wu berdasarkan tempat duduk penonton. Kesemua pemenang menerima hadiah yang menarik daripada penyanyi itu.

Pada acara tersebut, penyanyi berusia 23 tahun itu turut terharu apabila menerima klip video yang dihasilkan oleh peminat-peminat Malaysia. Sebagai menghargai sokongan peminat tempatan, beliau kemudiannya mendendangkan lagu Love This Moment sebagai penutup tirai persembahan.

Untuk tidak menghampakan penonton, Ong Seong Wu kemudiannya kembali semula ke pentas dengan diiringi oleh empat penari untuk menari. Biarpun persembahan telah berakhir namun penonton tidak berganjak kerana masing-masing mahu mengambil peluang untuk melakukan high five dengan penyanyi itu.

Acara pertemuan Ong Seong Wu bersama peminat yang pertama kali diadakan di sini adalah anjuran Hatchery, produksi hiburan yang berpusat di Bangkok, Thailand yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tassaporn Sukhapanth.

Kuala Lumpur merupakan destinasi kedua siri jelajah Ong Seong Wu di Asia selepas Bangkok yang mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pada 6 April ini beliau akan bertemu peminat di Singapura sebagai lokasi terakhir.

Pihak Hatchery ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi yang menjayakan acara ini iaitu Fantagio, MJ Tonz, The W Hotel Kuala Lumpur; rakan kongsi media, XUAN, MTV, dan saluran TV rasmi, Sony One.

Jangan lupa untuk mengikuti Facebook @hatcheryth bagi mengetahui perkembangan terkini.

Hatchery juga boleh diikuti menerusi Twitter dan Instagram @hatchery_th


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *