(HIBURAN) DUA EPISOD ISTIMEWA OH MY ENGLISH! SEMPENA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA PADA 24 DAN 31 OGOS INI!

Spread the love

OME_screenshot_5

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini, Astro TVIQ bakal mempersembahkan siri sitkom pendidikan popular, Oh My English! (OME!) Musim Ketiga dengan dua episod Istimewa Merdeka pada 24 dan 31 Ogos 2014 (Ahad), jam 9.30 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610).

OME! Istimewa Merdeka menjanjikan hiburan hujung minggu yang menyeronokkan dengan kandungan yang padat dengan gelak tawa dan juga ilmu yang berguna serta diselitkan dengan suntikan semangat patriotik. Para peminat siri ini pastinya teruja untuk menyaksikan watak- watak kegemaran mereka antaranya Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa Ravindran), Jojie (Nadiya Nisaa), Putri (Amyra Rosli), Khai (Shafiq Kyle) serta guru-guru kesayangan mereka Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan Miss Soo (Carmen Soo) bakal tampil dengan karakter yang berbeza dalam satu jalan cerita klasik yang sangat menarik. Selain itu, Frankie Lee, pelakon utama daripada filem yang memecahkan rekod kutipan tertinggi di Malaysia iaitu The Journey dan juga P. Jegananthan yang merupakan pelakon filem Kami Histeria akan turut membuat penampilan istimewa dalam episod kali ini.

Dalam episod ini, Jibam ditugaskan untuk mengemas rumah sebelum datuknya tiba. Ketika membersihkan bilik stor, Jibam terdengar telefon usangnya berdering. Apabila dia mengangkat gagang telefon, dia dibawa ke tahun 1957. Jibam berasa sangat gembira apabila bertemu dengan rakan sekelasnya, Zack tetapi sebenarnya orang tersebut adalah seorang penarik beca yang bernama Amran. Seterusnya, Amran membawa Jibam ke tapak pesta ria.

Di sepanjang perjalanan, Jibam mendapati bahawa dia berada di Kampung Ayer Dalam dan terserempak dengan gadis jelita yang bernama Azizah (Putri). Ketika berada di tapak Pesta Ria, mereka bertemu dengan Selvi (Anusha) yang menceritakan tentang suatu acara terbesar yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada keesokan hari iaitu sambutan Hari Merdeka. Jibam bagaikan tidak percaya bahawa dia telah dibawa ke hari Kemerdekaan tahun 1957. Mereka juga bertemu dengan penjual sate, Ah Chiew (SYS) dan Khir (Khai). Jibam disalah anggap sebagai tukang masak sate dan terpaksa menangkap ayam liar. Para pelanggan tidak berpuas hati dengan sate yang disediakan oleh Jibam dan akibatnya, Jibam dihalau, lantas melarikan diri bersama Amran. Selepas itu, Jibam juga cuba membeli ais kepal daripada seorang pakcik berbangsa Cina (Frankie Lee) dengan menggunakan wang kertas lima ringgit moden tetapi dianggap sebagai wang palsu. Jibam menyedari bahawa kehidupan pada tahun 1957 adalah sangat berbeza dengan kehidupan masa sekarang. Adakah Jibam dapat kembali ke masa kini atau terus terperangkap di tahun 1957? Sama-sama kita saksikan episod istimewa ini untuk mengetahui jawapannya.

Selain itu, para peminat OME! juga boleh berkongsi keseronokan dan turut sama menyertai sesi pembelajaran Bahasa Inggeris secara interaktif di atas talian melalui rangkaian kandungan terbaru di laman web rasmi OME! (www.ohmyenglish.com.my) dan juga menerusi laman-laman sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube. Pelbagai aplikasi dan aktiviti menarik menanti para peminat antaranya Brainbox, Pop Quiz, Worksheet, Ask Teacher serta beberapa segmen interaktif, permainan, di sebalik tabir OME!, gambar-gambar menarik, muat turun eksklusif dan banyak lagi yang pastinya dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris anda.

Bukan itu sahaja, OME! turut memperkenalkan inisiatif baru di mana para peminat kini boleh memuat naik gambar mereka ke Instagram mengikut tema setiap episod siri OME! yang disertakan dengan hashtag #OhMyEnglish dalam butiran gambar mereka. Gambar terpilih akan disiarkan di televisyen semasa episod OME! sedang ditayangkan. Untuk maklumat lanjut, sila ikuti akaun Instagram rasmi Oh My English di @ohmyenglish.

Jangan ketinggalan untuk bersama Jibam dan rakan-rakannya menyelami pengertian sebenar kemerdekaan sambil belajar dan berhibur dalam Oh My English! (OME!) Musim Ketiga dengan dua episod Istimewa Merdeka pada 24 dan 31 Ogos 2014 (Ahad), jam 9.30 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *