(HIBURAN) ‘EJEN ALI THE MOVIE’ Membuka Tirai di Persada Antarabangsa – Bertanding di Cartoons On The Bay, Itali dan Mewakili Negara di ASEAN Film Week 2020, Vietnam

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2020 – Primeworks Studios dan WAU Animation hari ini mengumumkan penyertaan sulung EJEN ALI THE MOVIE di dua festival filem berprestij antarabangsa tahun ini. Filem EJEN ALI THE MOVIE yang diterbitkan susulan dari kejayaan siri animasi TV Ejen Ali yang mula bersiaran pada tahun 2016, telah berjaya meraih keuntungan lebih dari RM30.8 juta di carta pecah panggung Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, sekaligus menjadi filem pilihan #1 Malaysia pada tahun lalu.

EJEN ALI THE MOVIE telah terpilih di dalam barisan pencalonan akhir 16 filem yang bakal bertanding untuk kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik pada edisi ke-24 Cartoons on the Bay – Pulcinella Awards yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2020 di Pescara, Itali. Filem ini berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan lebih 350 karya animasi hebat dari 20 buah negara serata dunia di dalam acara berprestij ini.
 
Festival Cartoons on The Bay yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 bertujuan untuk mendedahkan himpunan karya animasi Itali, mula mendapat perhatian dan menjadi antara acara terpenting di dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa. Panel juri antarabangsa yang terpilih untuk menilai kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (Wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (Wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan Wartawan, CIAK).
 
Filem animasi pecah panggung EJEN ALI THE MOVIE ini juga mendapat pengiktirafan di peringkat Asia Tenggara apabila diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Film Week 2020 yang akan berlangsung di tiga buah bandar besar Vietnam iaitu di Hanoi, Da Nang dan Bandar Ho Chi Minh. Acara gilang-gemilang ini dianjurkan sempena pelantikan negara Vietnam selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2020, dengan tujuan memelihara nilai-nilai teras negara ASEAN melalui karya-karya kreatif.
 
Sepuluh negara ASEAN telah diundang untuk mencalonkan filem terbaik mereka melalui pemilihan persatuan filem negara masing-masing selaras dengan tema “ASEAN Cohesion and Proactive Adaptation”. Selaku wakil rasmi negara Malaysia, EJEN ALI THE MOVIE akan dipertontonkan dalam siri tayangan awam percuma yang dijadualkan seperti berikut:
 
20 Julai 2020: National Cinema Centre, Hanoi, 8.00 malam
23 Julai 2020: Le Do Cinema, Da Nang, 7.30 malam
24 Julai 2020: Cinestar Hai Bà Trưng, ​​Bandar Ho Chi Minh, 8.00 malam
 
“Ia adalah satu penghormatan besar buat Malaysia dan kepada kami bagi memulakan fasa kedua tahun 2020 dengan menyaksikan pencapaian EJEN ALI THE MOVIE di persada festival filem antarabangsa. Ianya menjadi titik tolak kejayaan yang membanggakan filem ini kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa yang lain. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada rakan karya kami di WAU Animation di atas pencapaian mereka dalam menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini,” kata Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios.
 
“Penyertaan filem animasi kami di festival antarabangsa ini merupakan sebuah berita yang sangat mengujakan. Ia menjadi pendorong untuk kami terus berkarya dan mencipta animasi yang lebih baik dan bermutu, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang sedang pulih dari pandemik COVID-19. Kami sangat berbesar hati diiktiraf dan diberi peluang mewakili Malaysia dan sangat teruja untuk melihat reaksi penonton di Itali dan juga Vietnam,” ulas lanjut Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan juga pengarah filem EJEN ALI THE MOVIE.
 
EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat
 
 
tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
 
 
Untuk maklumat lanjut tentang EJEN ALI THE MOVIE, sila ikuti:
YouTube : www.youtube.com/ejenali
Facebook : www.facebook.com/ejenali
Instagram : www.instagram.com/ejen_ali
Twitter : www.twitter.com/ejen_ali
 
 
 
#EjenAliTheMovie #EjenAli #AniMY
 
###

Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *