(HIBURAN) EREN SAMPAIKAN SALAM RINDU

Spread the love

Eren atau nama sebenarnya Erna Tri Suryani merupakan seorang penyanyi Indonesia yang sentiasa berkolaborasi bersama  Kangen Band. Anak kelahiran Lampung yang kini berusia 28 tahun ini memulakan karier nyanyian sebagai penyanyi latar kumpulan Indonesia popular, Kangen Band.  Pada awal pembabitan Eren sebagai penyanyi latar kumpulan Kangen Band, beliau telah menyumbang suara menerusi beberapa lagu hit seperti “Tentang Kau dan Dia” serta “Menunggu”.

Kredibiliti beliau sebagai wanita bertudung membataskan beliau untuk menyertai Kangen Band yang berimejkan kelakian, namun, hal ini tidak pernah menjadi penghalang bagi wanita berjiwa besar ini apabila beliau kemudian muncul sebagai penyanyi solo.

Pada tahun 2007, Eren mewarnai industri muzik Indonesia dengan album solo sulung beliau yang bertajuk JENDELA HATI. Menerusi album ini, Eren berjaya menghasilkan hit menerusi “Kelak Kita Kembali Ke Asalnya” dan “Perubahan”.

Pada tahun 2009, Eren muncul dengan album bertajuk PERUBAHAN, sebelum muncul lagi dengan album terbaru beliau, SALAM RINDU.  Sejak bergerak dan berjuang secara solo, Eren berjaya meraih perhatian menerusi beberapa lagu beliau seperti, “Takkan Pisah”, “Tak Bisa Tanpamu”, “Pelengkap Hidupku” dan “Terluka”.

“Saya sudah memasuki tahap yang baru iaitu eksis dan bertahan di industri musik. Saya pasti akan terus memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Menerusi album SALAM RINDU, Eren mempertaruhkan single pertamanya yang bertajuk PERGI TANPA ALASAN. Dalam jangka waktu yang singkat, lagu ini telah meraih perhatian ramai! Para peminat Eren telah menghasilkan pelbagai video yang berlatar belakangkan PERGI TANPA ALASAN. Video-video ini yang tentunya diminati, telah mencapai jumlah penonton yang mencecah ratusan ribu!!

PERGI TANPA ALASAN merupakan sebuah lagu ringan yang berkisar kekecewaan dalam perhubungan. Lagu ini menceritakan bagaimana hancur dan luruhnya hati si pencinta atas pemergian kekasih hatinya. Cinta yang diagungkan berakhir dalam kedukaan apabila kekasih hati pergi tanpa alasan…

Lagu sadis ini disampaikan dalam melodi yang sungguh melankolik, semestinya suatu irama syahdu yang meruntun kalbu. Menerusi penyampaian vokal mantap oleh Eren, lagu sadis ciptaan Tama (Kangen Band) ini sungguh mudah didendangkan, lantas menjadikan PERGI TANPA ALASAN sebagai peneman setia jiwa yang lara.

“Lagu ini mengkisahkan tentang putus cinta dan tersakiti. Ini bisa jadi salah satu ungkapan rasa yang mewakili perempuan-perempuan di Indonesia,” ungkap Eren apabila menggambarkan single pertama beliau ini. Meskipun PERGI TANPA ALASAN menceritakan kedukaan, irama yang indah menerusi lagu ini sungguh mendamaikan, menjadikannya enak pada santapan deria pendengaran…

SALAM RINDU merupakan hasil kerjasama Eren bersama Tama (Kangen Band) dan Andi Bayou, serta barisan pemuzik muda berbakat seperti Andi (Merpati), Ato (Angkasa), Ugie (Dua Mata), Irwan (Joker) dan Poci (Sayap Laki). Eren juga turut berkolaborasi dengan Jay (vokalis Organik) menerusi duet “Tak Bisa Tanpamu”. “Eren sangat beruntung karena kebanyakan lagu diciptakan oleh teman-temannya sendiri, jadi mereka tahu benar karakter suara Eren seperti apa. Makanya, ada tembang yang mellow ada juga yang sedikit menggoda,” ujarnya.

Album Eren kali ini memuatkan beberapa lagu balada seperti “Tanpa Cinta” ciptaan Andi (Merpati) dan “Tak Bisa Tanpamu” (feat. Jay Organik) ciptaan Ato (Angkasa). Disamping lagu-lagu berirama indah ini, SALAM RINDU turut memuatkan lagu berentak rancak berjudul “Cukup Sudah”, ciptaan Ugie (Dua Mata).

SALAM RINDU juga turut menampilkan lagu-lagu berentak ‘slow rock’ yang menarik untuk didengari! Khas buat peminat Eren, album ini kini boleh didapati di pasaran dengan harga hanya RM27.90!

 

Artist : EREN

Album : Salam Rindu

 

Senarai lagu

1.     Pergi tanpa alasan

2.     Tanpa cinta

3.     Tak bisa tanpamu

4.     Cukup sudah

5.     Salam Rindu

6.     Sendiri lagi

7.     Terluka

8.     Senandung malam


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *