(HIBURAN) ‘Estranged’ Sapa Peminat Dengan Konsert Apa Khabar Teman?

Spread the love

Bertahun tidak menyapa peminat secara langsung bukan bererti Estranged sudah hilang dari radar. Sebaliknya pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu dalam kategori Pop Rock tersebut punya projek yang dilaksana penuh teliti sebelum kembali bertemu peminat.

Kini setelah tujuh tahun tidak aktif di semenanjung, Estranged punya sesuatu yang baharu untuk diperkenal lalu diraikan bersama peminat mereka.

Lewat Konsert Estranged Apa Khabar Teman? kumpulan rock yang dianggotai Rich (vokalis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) akan mengembalikan keghairahan dan mengisi dahaga untuk melihat persembahan secara langsung mereka.

Membawa tema Hancur Aku yang diambil dari hit lagu sama menerusi album Sepenuhnya Vol. 1, Konsert Estranged Apa Khabar Teman? akan dilaksanakan pada 3 Februari 2024 di Persada Johor, Johor Bahru.

Konsert Estranged Apa Khabar Teman? merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan Estranged menjadi salah sebuah kumpulan yang dianugerahi DKD menerusi Estranged Sdn Bhd oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Inisiatif DKD oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dilaksana untuk memudahkan dan menggalakkan penggiat industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan yang kreatif serta mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif dalam pasaran domestik dan global.

“Selepas tujuh tahun tidak aktif terutama di Semenanjung, kembali menyapa peminat kami dengan Konsert Estranged Apa Khabar Teman? adalah momen yang sangat dinantikan.

“Ada banyak perkara yang kami ingin kongsikan. Ia lebih daripada sekadar pertemuan biasa tetapi tentang nilai persahabatan yang telah terjalin di antara kami serta peminat Estranged.

“Menerusi Konsert Estranged Apa Khabar Teman? kami mahu memperkenalkan imej atau bunyian baharu dari Estranged kepada semua.

“Inilah (bunyian baharu) yang kami usahakan sepanjang tidak aktif termasuk sewaktu dunia dilanda pandemik dan akhirnya sedia untuk diperkenalkan kepada semua.

“Kami juga mahu Konsert Estranged Apa Khabar Teman? menjadi medan pertemuan Estranged dengan peminat lama dan punya keinginan atau misi mengumpul peminat dalam kalangan pendengar baharu.

“Justeru besar harapan kami agar ‘misi’ pada 3 Februari 2024 nanti terlaksana dan terima kasih kepada DKD atas inisiatif yang dilakukan sekaligus membawa Estranged kembali ke Selatan untuk bertemu peminat di sana,” ujar Rich.

Pada pertemuan penuh bermakna itu juga, Rich memaklumkan agenda istimewa yang akan dipersembahkan selain sesi nostalgia bersama untaian lagu Estranged adalah sesi ‘berkenalan’ dengan  instrumen instrumen tradisional dan kebudayaan serta warisan etnik keluarga Borneo.

“Kami juga sangat teruja untuk memperkenalkan instrumen instrumen tradisional dan kebudayaan serta warisan etnik keluarga Borneo serta sahabat sahabat barisan artis dari Sabah dan Sarawak.

“Ini sesuatu yang sangat istimewa untuk kami tampilkan pada Konsert Estranged Apa Khabar Teman? di Persada Johor nanti,” kata Rich lagi.

Untuk itu jangan sampai terlepas temu janji anda bersama Konsert Estranged Apa Khabar Teman? yang akan diadakan pada 3 Februari 2024 di Persada Johor.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 27 November 2023 di www.ticket2u.com  dengan harga early bird untuk minggu pertama sahaja – Itu Kamu (139) dan  Odoi (RM89).

Manakala harga normal iaitu kategori  Itu Kamu (RM149), Odoi (RM99) serta Meet & Greet + merchandise (RM300) – 100 pembeli tiket sahaja.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *