(HIBURAN) FIERSA BESARI RAI 14 TAHUN BERKARYA DENGAN KONSERT BERJALAN MUNDUR DI ZEPP KUALA LUMPUR

Spread the love

BERAWAL daripada episod patah hati yang dicurahkan lewat pelbagai medium seni, tanpa diduga membawa penulis, pemuzik dan pempengaruh media sosial kelahiran Bandung, Indonesia, Fiersa Besari menembusi pasaran komersial.

Tidak hanya menuangkan segala isi hatinya dalam bentuk tulisan dan buku, Fiersa, 39, juga mencurahkan keresahan dan kegalauan itu melalui muzik yang diabadikan daripada pengalaman serta perjalanan hidupnya.

Kejayaan yang diraih Fiersa yang akrab disapa Bung ini dalam dunia muzik dan penulisan sering menuai pujian, bahkan turut menjadi inspirasi, terutama kepada anak muda.

Tidak hanya mengangkat muzik yang beraroma cinta, karya tulisannya juga menyentuh sisi kemanusiaan dan sosial, lantas meletakkan sentuhan Fiersa pada tempat yang sangat istimewa di hati para penggemarnya.

Keampuhan karya Fiersa tidak hanya berlegar di negara kelahiran, sebaliknya turut mengharum di negara tetangga. Buktinya, aksi sulung Fiersa dalam sebuah acara muzik di Kuala Lumpur, tahun lalu membuatkan peminat sentiasa merindui kemunculan terbarunya.

Susulan kejayaan persembahan pertamanya itu, Fiersa kini bersedia untuk kembali dengan konsert solo terbaharu yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Ogos depan.

Dibawakan Seraya Group, Fiersa menyifatkan, kemunculan terbarunya dalam rangka konsert Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur sebagai titik tolak untuk melunaskan kerinduan peminat terhadap karya-karyanya.

“Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat di Malaysia memberikan inspirasi untuk saya mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan.

“Keterujan peminat membuatkan saya yakin konsert ini bakal menjanjikan pengalaman luar biasa dan bermakna buat semua yang hadir nanti,” katanya.

Ditemani gitar akustik dan lontaran vokal yang sarat emosi serta jiwa, Fiersa bakal membuai penonton dengan pilihan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.

Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu dibaluti keikhlasan nyanyian Fiersa bakal menenggelamkan peminat dalam keindahan karya yang melonjakkan namanya sebagai pemuzik.

“Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert itu nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.

“Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur juga menjadi titik permulaan bermakna buat penyanyi itu dalam meraikan 14 tahun beliau berkarya.

“Kali terakhir Fiersa beraksi dalam konsert solo adalah pada tahun 2020 di Jakarta. Bagi memaknakan lagi kemunculan album terbarunya, Berjalan Mundur yang dilancarkan pada November lalu, kami turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan konsert.

“Kemunculan pertama Fiersa di sini, tahun lalu menerima respons yang cukup luar biasa daripada peminat. Fiersa begitu terharu, tambahan pula ia persembahan pertamanya di luar Indonesia.

“Justeru, kami memutuskan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi siri konsert ini bagi mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu nyanyian Fiersa,” katanya.

Tambah Intan, konsert itu juga buat julung kali menyaksikan Fiersa membawakan18 lagu daripada lima album yang pernah dihasilkannya di atas sebuah pentas.

“Penampilan Fiersa nanti akan diperkemaskan dengan mainan audio visual, sekali gus memberikan kepuasan buat penonton yang sudah lama ternanti-nanti kemunculan terbarunya di pentas yang gah,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Fiersa dijual pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my bermula 2 Julai.

Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Mengenai Fiersa Besari:

Fiersa Besari adalah pemuzik dan penulis kelahiran Bandung, Indonesia pada 3 Mac 1984.  Fiersa memulakan kerier muziknya pada 2009 sebagai vokalis untuk sebuah band indie.

Dia juga aktif merakamkan kerja muziknya hingga pada 2012, Fiersa melahirkan album sulung iaitu 11:11. Album lain yang dihasilkannya adalah Tempat Aku Pulang (2012), Konspirasi Alam Semesta (2015), Album 20:20 (2020) dan Berjalan Mundur (2022).

Keampuhannya sebagai pemuzik terbukti apabila Fiersa meraih penghargaan seperti Rookie Of The Year, IKAPI Awards pada 2019, Top Male Singer Of The Year (Billboard Indonesia Music Awards, 2022) dan Karya Produksi Folk/Country/Balada Terbaik, Anugerah Musik Indonesia menerusi lagu Runtuh, duet bersama Feby Putri pada 2022.

Kecenderungan terhadap muzik dan kecintaan terhadap sastera Indonesia, mendorong Fiersa menerbitkan enam buku antara 2016 dan 2019, selain dikenali sebagai antara pengasas komuniti Pencandu Buku.

Karya yang dihasilkannya turut meraih pelbagai kejayaan, malah memasuki senarai best seller. Enam buku yang dihasikannya adalah Garis Waktu, Konspirasi Alam Semesta, Catatan Juang, Arah Langkah, Album 11:11 dan Tapak Jejak.

Fiersa turut menyalurkan minatnya terhadap alam dengan meneroka keindahan Indonesia menerusi foto-foto yang dikongsi di akaun Instagram peribadinya. Dia juga aktif di platform media sosial seperti Twitter dan YouTube.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *