Filem yang memaparkan aksi basikal lasak, MTB – Misi Tawan Baby, bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, pada 13hb Nov ini.
Filem terbitan pertama SPS Jaya Sdn Bhd, dibintangi oleh Kamal Adli, Erin Malek, Cat Farish, Zulin Aziz, Fido Adhross, Zarina AF dan penampilan istimewa, Raja Ema, telah menjalani pengambaran selama 17 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan kos sebanyak RM 1.2 juta.
Misi Tawan Baby mengisahkan mengenai Helmi, anak kesayangan Datin Maimon dan Dato Ismet telah mengalami kecederaan dalam sukan basikal gunung (mountain bike). Dia telah dimasukkan ke hospital, dan ketika di situ, dia telah bertemu dengan Zana, seorang jururawat yang berkhidmat di situ.
Bila kali pertama sedar dari pengsan, Helmi ternampak Zana, dia menyangka bahawa telah bertemu dengan bidadari. Dia telah jatuh hati. Namun, bukan mudah menawan hati Zana.
Datin Maimon, yang melihat Helmi, dari seorang anak manja yang ‘spoil’ kini mula berubah apabila jatuh hati dengan Zana. Ini menyebabkan Datin Maimon telah berpakat dengan Zana, dengan melancarkan Misi Tawan Baby. Dari perasaan yang dipaksa, tiba-tiba, Zana semakin menyayangi Helmi.
Semuanya seperti berjalan lancar, apabila Zana bersetuju. Namun, Lisa, kawan kolej yang cukup meminati Helmi, telah merakam saat Datin Maimon membayar khidmat Zana.
Ini telah menyebabkan Helmi keliru dan memarahi Zana. Zana menerangkan apa yang terjadi, namun dia tidak mempercayainya. Hinggalah, Datin Maimon sendiri menceritakan hal sebenar.
Helmi kelam kabut, dan cuba memujuk Zana. Ketika dia cuba menyakinkan Zana, Helmi bersama dengan basikal gunungnya telah dilanggar oleh kereta.
Apa yang terjadi kepada Helmi dan Zana? Saksikan MTB di pawagam bermula 13 November ini