(HIBURAN) FILEM EMOSIONAL “HANYA NAMAMU DALAM DOAKU” TAYANG DI MALAYSIA MULAI 4 SEPTEMBER 2025

Spread the love

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2025 – Antenna Entertainments dengan bangganya mengumumkan tayangan rasmi filem terbaru dari Indonesia, HANYA NAMAMU DALAM DOAKU, yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 4 September 2025.

Filem ini dibarisi oleh para pelakon hebat seperti Vino G. Bastian sebagai Arga, Nirina Zubir sebagai Hanggini, Naysilla Mirdad sebagai Marissa, dan Anantya Kirana sebagai Nala. Filem ini diarahkan oleh Reka Wijaya dengan barisan produser ternama iaitu Prilly Latuconsina, Umay Shahab dan Bryan Domani, di bawah rumah produksi Sinemaku Pictures yang sebelum ini hadir dengan filem Perayaan Mati Rasa yang sebelum ini turut mencetuskan fenomena di Malaysia.

Filem ini mengangkat kisah sebuah keluarga yang kelihatan harmoni, dengan seorang anak perempuan bernama Nala. Sang ayah sentiasa berdoa agar keluarganya sihat dan bahagia, namun masa lalu yang belum selesai mula menghantui serta menguji kekuatan doa dan kasih sayang dalam keluarga tersebut. Dengan jalan cerita yang menyentuh perasaan, filem ini dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada para penonton di Malaysia. Lebih daripada sekadar drama keluarga, filem ini turut menekankan tema kesedaran tentang penyakit ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis), menjadikannya sebuah karya yang penuh makna.

Filem ini dibarisi oleh para pelakon seperti Vino G. Bastian sebagai Arga, Nirina Zubir sebagai Hanggini, Naysilla Mirdad sebagai Marissa dan Anantya Kirana sebagai Nala. Filem ini diarahkan oleh Reka Wijaya dan barisan produser yang cukup terkena, Prilly Latuconsina, Umay Shahab dan Bryan Domani dari rumah produksi yang sama dengan filem Perayaan Mati Rasa yang menjadi fenomena di Malaysia iaiatu Sinemaku Pictures.

Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran dan tanggungjawab sosial, Antenna Entertainments akan bekerjasama dengan Persatuan Penyakit Motor Neuron Malaysia (MND Malaysia) sempena tayangan perdana filem ini pada Jumaat, 29 Ogos 2025 di TGV Suria KLCC jam 8.30pm. Tayangan perdana ini akan menampilkan sokongan khas kepada pesakit ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis), keluarga, dan penjaga mereka sebagai tetamu jemputan.

Ketua Pegawai Pemasaran Antenna Entertainments, Aziman Akesh, berkata:

“Kami percaya filem HANYA NAMAMU DALAM DOAKU bukan sekadar hiburan, tetapi juga menyampaikan mesej tentang doa, harapan dan kekuatan menghadapi ujian hidup. Dengan kerjasama bersama MND Malaysia, kami ingin memberikan ruang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit ini, di samping meraikan kehadiran sebuah karya sinema Indonesia yang sarat dengan emosi.”

Filem HANYA NAMAMU DALAM DOAKU akan mula menghantui emosi penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 4 September 2025.

Sinopsis Filem Hanya Namamu Dalam Doaku

Arga (Vino G. Bastian) ialah seorang suami dan ayah yang penuh tanggungjawab. Bersama isterinya, Hanggini (Nirina Zubir), mereka membina rumah tangga bahagia dan dikurniakan seorang anak perempuan tunggal, Nala (Anantya Kirana). Arga digambarkan sebagai lelaki penyayang, sentiasa mendahulukan keluarga dan berusaha mengekalkan keharmonian rumah tangganya.

Namun segalanya mula berubah selepas sebuah acara reunion sekolah menengah. Di situlah Arga tanpa diduga dipertemukan semula dengan bekas kekasihnya, Marissa (Naysilla Mirdad). Pertemuan itu membuka kembali luka lama yang sepatutnya sudah terkubur, hingga membuatkan Arga mula berbohong dan semakin menjauh daripada isteri serta anaknya.

Keadaan ini memberi tamparan hebat kepada Nala, sehingga dia terpaksa menguburkan impian untuk mengejar biasiswa kerana kekecewaan terhadap keluarganya sendiri. Dalam kekalutan itu, Arga terperangkap dalam dilema antara keberanian untuk berkata jujur demi menyelamatkan keluarganya, atau melepaskan segalanya dan meninggalkan insan-insan yang paling dia cintai.

Hanya Namamu Dalam Doaku bukan sekadar kisah drama keluarga, tetapi sebuah perjalanan emosi tentang cinta, pengorbanan, dan kekuatan doa dalam menghadapi ujian hidup.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *