Kumpulan rock terkenal SEARCH mengotakan janji mereka untuk memukau hadirin yang memenuhi Panggung Sari, Istana Budaya sempena Konsert Search Live in Istana Budaya malam tadi. Percubaan pertama mereka menakluk Istana Budaya amat berbaloi dan sedikit sebanyak mengubat rindu peminat mereka yang telah lama dahagakan persembahan konsert berskala besar.
Namun, keghairahan sebenar adalah kemunculan pemain drum utama SEARCH iaitu saudara Yazit yang kita sedia maklum kesihatanya tidak beberapa mengizinkan. Tepukan gemurah dari peminat yang berdiri memberi penghormatan kedengaran dari segenap ruang panggung apabila Yazit tampil pada set kedua konsert itu, Yazit memulakan aksinya ketika Amy mendendangkan lagu popular mereka iaitu Kejora, Fantasia Bulan Madu dan Isi Dan Kulit dan Yazit meneruskan persembahan beliau menerusi lagu keramat Search iaitu Isabella dan Gadisku.
Konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd ini, menyaksikan Search mendendangkan sebanyak 21 lagu popular mereka antaranya Kejora Ku Bersatu, Laila Namamu Teratas, Langit dan Bumi, Menuju Puncak, Tong Kosong, Pelesit Kota, Isi Atau Kulit, Fantasia Bulan Madu, Isabella, Gadisku, Dairi Habil Qabil, Gothic Malam Edan, Fenomena dan Pawana.
Selain Yazit, persembahan SEARCH menampilkan Nasir (pemain bes) selain pasangan adik-beradik iaitu Nordin dan Kid masing-masing bermain gitar serta diiringi kumpulan rock cello tempatan iaitu kumpulan PALADIN yang dianggotai oleh 5 pemain cello professional .
Difahamkan tiket untuk persembahan pada malam 5 Disember dan 6 Disember sudah habis dijual kecuali tiket untuk pada 7 Disember yang hampir kehabisan. Buat peminat yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh dibeli di www.ticketpro.com.my