KUALA LUMPUR, 29 September 2025 – Sejarah industri hiburan tanah air terus tercipta apabila kumpulan legenda KRU bersama penganjur ICON Entertainment mengumumkan penganjuran genKRU The Finale: One More Time, konsert kelima KRU dalam tempoh setahun. Konsert berskala besar ini bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025, jam 8.30 malam.
Selepas kejayaan empat malam berturut-turut di Axiata Arena Bukit Jalil pada bulan Mei lalu yang mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) – iaitu “Most Show in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”, KRU sekali lagi tampil memenuhi permintaan peminat untuk persembahan finale yang dijangka lebih epik.
Pengarah Urusan ICON Entertainment, Iman Tang berkata, penganjuran kali ini membuktikan trend konsert di Malaysia kini bergerak seiring dengan penganjuran global.
“Trend konsert antarabangsa kini banyak berlangsung lebih daripada satu hari, malah ada sehingga seminggu. Fenomena ini sudah mula berlaku di Malaysia apabila permintaan tinggi daripada peminat mendorong penganjur menambah hari persembahan. genKRU The Finale: One More Time adalah bukti jelas bahawa permintaan industri hiburan tempatan berada pada tahap yang sihat,” ujar beliau.
Sementara itu, mewakili KRU, Norman Abdul Halim menyifatkan peluang ini sebagai tanda positif buat pemuzik tempatan.
“Sejujurnya, KRU tidak pernah terfikir penganjuran boleh sampai ke hari kelima. Namun, kami melihat ia sebagai bukti bahawa artis tempatan tidak dipinggirkan dan mampu menjadi pencetus perubahan dalam industri hiburan tanah air. Inilah masanya kita buktikan bahawa kita adalah gamechangers sebenar,” katanya.
Konsert ini sekali lagi dijangka mencetus fenomena kerana permintaan tiket yang luar biasa sejak penganjuran awal.
INFORMASI
Acara: genKRU The Finale: One More Time
Artis: KRU
Tarikh: 22 November 2025
Lokasi: Stadium Hoki Bukit Jalil
Masa: 8.30 malam
Penganjur: ICON Entertainment
Harga tiket: MENGERTI (RM188), AWAS (RM228), THE WAY WE JAM (RM238), APA SAJA (RM268), OHH LA LA! (RM318), FANATIK (RM358), REMAJA SELAMANYA (RM488) dan TERHANGAT DI PASARAN (RM558)
Tiket mula dijual 3 Oktober 2025, 11 pagi
Pembelian: https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale
Talian hotline: 012 6530 700
Tata Pakaian / Dress Code: 90s
Penaja:
Etiqa- Rakan Strategik Utama
DTC- Pengangkutan rasmi
Era, Sinar, Gegar, Zayan- Radio rasmi
Astro Gempak- Digital rasmi

