Kumpulan rock ikonik tanah air, Exists, kembali dengan penuh semangat melalui pelancaran semula single klasik mereka “Alasanmu”, yang kini diberi nafas baharu dari segi susunan muzik, emosi dan penceritaan. Diterbitkan oleh syarikat rakaman prolifik, Sony Music Malaysia, lagu ini bukan sekadar satu gubahan semula, tetapi pengakuan jujur dan refleksi peribadi terhadap perjalanan penuh cabaran kumpulan ini dalam industri muzik tempatan.
Kumpulan Rock Malar Segar Dengan Jiwa Yang Masih Menyala
Exists telah ditubuhkan sejak awal 90-an dan terdiri daripada anggota asal seperti Along (gitar utama), Shah (gitar kedua), Musrad (bass), Ujang (dram), Ajai (pemain keyboard), Mamat (vokalis) dan kini diterajui oleh vokalis Ezad Lazim yang menyertai kumpulan ini pada era kematangan mereka. Sehingga kini, Exists telah menghasilkan lebih daripada tujuh album studio, termasuk karya-karya terkenal seperti Anugerah, Jesnita, Julia, Rahsia Pohon Cemara dan Untukmu Ibu.
Ezad telah membawa nafas perubahan kepada kumpulan ini sejak penglibatannya. “Saya bukan masuk Exists untuk gantikan sesiapa. Saya masuk sebab saya sayangkan muzik dan percaya pada ‘chemistry’ di antara kami. Lagu Alasanmu ini memang ada kena mengena dengan kami, kami sendiri pernah rasa dikecewakan dan dikhianati,” kata Ezad.
Pencapaian Exists – Raih 2.2 Bilion Strim Digital!
Kumpulan ini juga mencatat pencapaian luar biasa apabila katalog muzik mereka berjaya meraih lebih 2.2 bilion gabungan jumlah strim di semua platform digital setakat ini. Pencapaian ini merangkumi keseluruhan katalog audio dan video Exists yang dahulunya diterbitkan di bawah label Sony BMG, dan kini dikelola oleh Sony Music Malaysia. Lagu-lagu malar segar seperti Alasanmu, Mengintai dari tirai kamar, Masih Terserlah Ayumu dan banyak lagi masih kekal relevan dan terus mendapat tempat di hati peminat merentasi generasi, dengan jumlah strim yang konsisten tinggi di platform digital.
Alasanmu – Dari Lagu Cinta Ke Kisah Pengkhianatan
Versi asal lagu Alasanmu pernah dimuatkan dalam album Diammu Gunung Berapi lebih tiga dekad lalu. Namun pada tahun 2025, lagu ini dihidupkan semula dengan vokal lebih mantap dan susunan muzik yang lebih sinematik, menggambarkan perasaan kecewa akibat pengkhianatan yang dialami oleh kumpulan ini dalam perjalanan mereka sebagai anak seni.
“Dulu mungkin orang dengar lagu ini sebagai lagu cinta. Tapi sebenarnya Alasanmu lahir dari satu peristiwa yang sangat peribadi. Ia tentang kehilangan kepercayaan, tentang pengkhianatan dalam dunia yang sepatutnya profesional, tapi menjadi tempat luka,” kongsi Along.
Menurut Ujang pula, “Kami pernah berada di titik paling rendah. Tapi kami pilih untuk bangkit, dan lagu ini adalah satu bentuk ‘closure’ bagi kami. Bukan untuk balas dendam, tapi untuk lepaskan semua yang terpendam selama ini dengan cara paling bermakna iaitu – melalui muzik.”
Dari Studio Ke Hati Pendengar
Proses pembikinan versi baharu Alasanmu mengambil masa beberapa bulan. Ia melibatkan penulisan semula struktur lagu, susunan muzik yang lebih dinamik, serta rakaman vokal yang menonjolkan emosi sebenar Ezad dalam menyampaikan cerita ini.
“Lagu ini kami buat bukan sebab hendak ‘throwback’, tapi sebab kami rasa belum pernah betul-betul ceritakan kisah sebenar di sebalik Exists. Inilah peluangnya,” ujar Along, yang memainkan peranan penting dalam susunan muzik kali ini.
Bukan Sekadar Lagu
Menariknya, Alasanmu juga pernah digunakan secara tidak rasmi oleh seorang tokoh politik dalam kempen PRU14 kerana “maksud tersirat” liriknya yang sangat relevan dengan naratif perjuangan dan pengkhianatan. Ini membuktikan betapa kuatnya impak lagu ini terhadap pelbagai lapisan masyarakat – dari industri hiburan ke arena politik.
“Kita tidak boleh halang orang tafsir lagu ini macam mana pun. Tapi yang penting, kita tahu lagu ini datang dari hati. Itu yang kami hendak sampaikan,” jelas Ezad.
Kini Tersedia Di Semua Platform Digital
Lagu “Alasanmu Versi 2025” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi.

