(HIBURAN) INKHOUSE PICTURES MEMPERSEMBAHKAN BIOPIK P. RAMLEE

Spread the love

Singapura, 5 December 2023 – Inkhouse Pictures Sdn Bhd, adalah sebuah syarikat produksi yang bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam menerbitkan kandungan program berkualiti tinggi yang dapat menawan hati penonton seluruh dunia. Di ketuai oleh Dato’ Khairul Anwar Salleh, (mantan Naib Presiden Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios), Inkhouse Pictures berdedikasi untuk mencipta naratif menarik dengan memberi impak kepada penonton sejagat merentasi sempadan.

Inkhouse Pictures telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat produksi luar negara yang terkenal kerana menyedari potensi untuk memperkasakan industri perfileman adalah lebih tinggi. Kerjasama ini berperanan sebagai pemangkin kepada Inkhouse Pictures, bukan sahaja untuk menghasil kandungan tempatan malahan sehingga ke peringkat antarabangsa.

”Untuk merealisasikan misi ini, kami telah memilih dengan teliti rakan kongsi yang berpengalaman yang turut mempunyai minat seperti kami dalam penceritaan dan inovasi ini,” jelas Dato Khairul Anwar Salleh. “Kerjasama strategik bersama Dream Forest Stories (Singapore), Soho Moon Pictures ( Ireland ) Silver Wolf International (Singapore), dan Adlin Aman Ramlie, usahawan kreatif terkenal di Malaysia, kesemuanya mempunyai kepakaran dan maklumat serta sumber yang sangat berharga, telah melengkapkan misi kami untuk menghasilkan kandungan bertaraf antabangsa.”

Inkhouse Pictures Sdn Bhd teruja untuk mengumumkan penghasilan biopik mengenai kisah kehidupan dan legasi legenda Malaysia, Tan Sri P. Ramlee berjudul ‘Seniman Agong Negara, Tan Sri P. Ramlee’. Sejak pemergian beliau, Tan Sri P. Ramlee masih kekal sebagai ikon, dihormati kerana bakat beliau yang luar biasa dan ia telah meninggalkan impak yang berkekalan menerusi filem-filem beliau.

Disanjung sebagai ikon budaya, P. Ramlee merupakan penghibur berbakat yang serba boleh dan telah memukau penonton dengan kehebatan lakonan, pengarahan, nyanyian dan kebolehan dalam penulisan lirik. Komedi beliau yang tiada tandingan dan keupayaan beliau berhubungan dengan orang ramai telah meninggalkan kesan yang mendalam menerusi filem dan muzik.

 “P. Ramlee – Jeritan Batinku” menceritakan tentang lelaki yang bergelar lagenda. Filem yang dikaryakan dan diarahkan oleh Adlin Aman Ramlie ini akan menyelusuri perjalanan kehidupan P. Ramlee yang luar biasa dari awal sehingga melakar kegemilangan dan menjadi khazanah negara.

“P. Ramlee adalah seorang yang berwawasan, suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa batasan dan memberi wajah baharu kepada hiburan di Malaysia. Menerusi biopik ini, kami berhasrat untuk menonjolkan kandungan yang luar biasa dan pamerkan legasi beliau yang kekal hingga kini,” tambah Dato’ Khairul Anwar Salleh.

Filem ini akan meneroka aspek yang tersembunyi dalam kehidupan P.Ramlee, menyelami perjuangan peribadi dan kejayaan beliau. Turut digambarkan adalah pergolakan perkahwinan yang dihadapi, perasaan iri hati rakan-rakan sejawatnya dan semangatnya yang jitu terhadap bidang seni.

“Kami ingin menceritakan tentang sisi P. Ramlee yang tidak pernah kita kenali,” ulas Adlin, “seorang yang berani, sukakan cabaran dan sangat berperikemanusiaan.”

“P. Ramlee – Jeritan Batinku” bukan sahaja menceritakan tentang perjalanan kehidupan P. Ramlee, tetapi turut menghidupkan semula suasana di era 1960-an, membuatkan penonton seolah-olah berada dalam penceritaan, bunyi suara, dan landskap budaya pada masa itu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *