KUALA LUMPUR, 9 JANUARI 2026 — Sebagai pembuka tahun 2026, penyanyi muda berpengalaman, Irfan Haris memilih untuk memulakan langkahnya dengan sebuah doa yang dilagukan. “Tolong” bukan sekadar sebuah single, tetapi luahan rasa tentang cinta, ketakutan dan kebergantungan yang sering terpendam. Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, duet istimewa bersama kakak kesayangan, Amira Othman yang meraih hampir 4 juta tontonan di YouTube, karya terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini menzahirkan kematangan seorang penyanyi yang semakin yakin mendakap kejujuran emosinya. “Tolong” bukan lagu yang dibina untuk mengejar sensasi, sebaliknya memilih untuk berdiri dalam ruang yang lebih tenang dan jujur, sebuah ruang dimana emosi dibenarkan bernafas, dan perasaan tidak perlu disembunyikan.
Lagu Yang Lahir Dari Kejujuran
Bagi Irfan, “Tolong” merupakan antara karya paling dekat dengan hatinya setakat ini. Dengan susunan muzik yang kemas oleh penerbit muzik Wan Saleh serta melodi dan lirik hasil ciptaan sepupunya, Dr. Syafiq Rashid, lagu ini hadir dalam bentuk yang sederhana tetapi sarat makna.
“Melodi balada yang merintih dengan lirik yang mudah difahami ini sangat bermakna bagi saya. Lagu ini juga senang untuk disampaikan kerana ia dekat dengan apa yang saya rasa,” ujar Irfan.
Sebagai seorang penyanyi yang telah melalui pelbagai fasa dalam industri muzik, Irfan kini memilih untuk menyampaikan lagu dengan lebih bersahaja, membiarkan emosi memimpin, tanpa perlu berlindung di sebalik teknik yang berlebihan.
Maksud Di Sebalik “Tolong”
Menurut Dr. Syafiq Rashid, perkataan “Tolong” dipilih sebagai nadi utama lagu kerana sifatnya yang sangat manusiawi.
“‘Tolong’ merupakan satu bentuk ekspresi rayuan, pengharapan dan kebergantungan yangmenjadi tema keseluruhan lagu ini,” jelasnya.
Lagu ini bergerak di antara dua emosi yang sering hadir serentak dalam kehidupan, iaitu rasa bergantung dan rasa takut kehilangan. Ia bukan tentang kelemahan, tetapi keberanian untuk merendahkan ego dan mengakui keperluan terhadap insan yang kita sayangi.
Antara Pengalaman & Pengharapan
Dari sudut penulisan, “Tolong” diinspirasikan oleh pengalaman sebenar yang diperkukuhkan secara emosi bagi memberi impak yang lebih mendalam kepada pendengar.
“Trauma atas kehilangan yang pernah berlaku membuatkan saya rasa takut sekiranya perpisahan berlaku lagi. Ketakutan itu dizahirkan melalui rayuan agar tidak ditinggalkan,” kongsi Dr. Syafiq.
Kejujuran ini menjadikan “Tolong” sebuah lagu yang mudah difahami, dekat dengan realiti, dan terasa seperti satu luahan yang tidak dirancang, tetapi perlu diluahkan.
Keluarga Sebagai Nadi Emosi
Walaupun “Tolong” boleh ditafsirkan dalam pelbagai konteks hubungan, bagi Irfan sendiri, emosi lagu ini sentiasa terikat dengan keluarga, terutamanya ibu dan bapanya.
“Saya tidak boleh bayangkan hidup saya tanpa mereka. Saya tidak mahu mereka jauh. Saya letakkan perspektif itu untuk dapatkan feel ketika menyampaikan lagu ini,” katanya.
Baris lirik “Jangan lepaskan walau cuma sedetik” menjadi simbol kasih sayang Irfan terhadap keluarganya, cinta yang tidak bersyarat, yang jarang diungkap, tetapi sentiasa hadir sebagai kekuatan utama dalam kehidupannya.
Emosi Lebih Mahal Daripada Vokal
“Tolong” bukanlah lagu yang dibina untuk menonjolkan vokal tinggi atau kebolehan teknikal semata-mata. Bagi Irfan, cabaran sebenar adalah memastikan setiap rasa sampai ke hati pendengar.
“Saya tidak kejar vokal yang tinggi. Saya hanya sampaikan emosi yang raw, sebab bila orangdengar dan mereka boleh rasa, itu lebih mahal bagi saya,” jelasnya.
Pendekatan ini menyerlahkan kematangan Irfan sebagai seorang penyanyi yang memahami bahawa kekuatan sebenar terletak pada kejujuran dan penyampaian yang ikhlas.
Langkah Berani & Harapan Irfan Haris
Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, Irfan mengakui wujudnya tekanan untuk menentukan arahsingle yang seterusnya. Namun, beliau memilih untuk tidak mengulang formula yang sama.
“Saya ambil risiko untuk buat sesuatu yang berbeza kerana tidak mahu orang bandingkan lagu ini dengan single terdahulu,” katanya.
Ternyata keputusan ini membuktikan kesediaan Irfan untuk terus berkembang, bereksperimen dan mempercayai naluri seninya sendiri dengan mesej yang ingin disampaikan melalui “Tolong.”
“Saya berharap agar semua yang mendengarnya dapat menerima dengan hati yang ikhlas. Hargailah insan tersayang selagi mereka masih ada, dan fahamilah bahawa cinta yang paling besar sering hadir dalam bentuk paling sederhana,” akhiri Irfan.
Tersedia Di Semua Platform Digital
Single “Tolong” nyanyian Irfan Haris kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube sebagai karya pembuka tahun 2026 yang menandakan kematangan Irfan sebagai penyanyi serta langkah penting dalam perjalanan seninya yang masih panjang dan penuh potensi.
|
Kredit |
|
| Lagu | : “Tolong” |
| Artis | : Irfan Haris |
| Komposer | : Dr. Syafiq Rashid |
| Penulis Lirik | : Dr. Syafiq Rashid |
| Produser Muzik | : Wan Saleh |
Sebarang pertanyaan lanjut, promosi dan temu bual, sila hubungi Jabatan Domestik Sony Music Entertainment Malaysia:
