Kuala Lumpur, 10 November 2025 – Tahun 2026 dijangka bermula penuh gemilang buat para peminat Jessica Jung, figura Korea-Amerika yang lebih dikenali sebagai Jessica, apabila beliau kembali ke Malaysia untuk destinasi pertama siri jelajah konsert terbaharunya.
Konsert bertajuk Jessica Concert Tour 2026 <Reflections> in Malaysia akan berlangsung pada 11 Januari 2026 hari Ahad pada jam 7.00 malam bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting. Persembahan ini bakal menjadi hadiah istimewa buat para peminat yang digelar Golden Stars, dengan sebuah pengalaman persembahan yang memukau dan penuh nilai artistik.
Jelajah ini menghimpunkan perjalanan kerjaya seni Jessica sebagai seorang penghibur sejak mula berkarya hingga kini, sebagai penghargaan terhadap sokongan para peminat selama ini. Setiap persembahan dijangka menyampaikan pengalaman audio visual yang immersive melalui vokal lembut, persembahan tari memikat serta penceritaan penuh emosi yang dekat dengan hati peminatnya.
Sejak debut bersama kumpulan Girls’ Generation atau SNSD pada tahun 2007, Jessica terus berkembang sebagai personaliti serba boleh merentasi pelbagai cabang seni hiburan.
Sebagai penyanyi dan penulis lagu, beliau dikenali dengan gaya muzik versatil melalui EP “With Love, J” dan “Wonderland” pada tahun 2016 diikuti “My Decade” pada tahun 2017 serta
“Beep Beep” pada tahun 2023. Beliau turut dikenali melalui lagu-lagu popular antaranya “Fly” bersama Fabolous, “Get It? Got It? Good” bersama Amber Liu, “Big Mini World”, “Summer Storm” dan “Falling Crazy In Love”.
Jessica juga terus menyerlah di kaca televisyen di China termasuk meraih tempat kedua dalam program “Sisters Who Make Waves 3” serta tampil dalam program “The Treasured Voice” musim keempat.
Di samping itu, beliau merupakan pengasas jenama fesyen Blanc & Eclare dan penulis novel “Shine” serta sambungannya “Bright”. Dalam bidang lakonan, beliau membintangi pementasan muzikal “Legally Blonde” di Korea serta filem “I Love That Crazy Little Thing” dan “My Other Home” di China.
Tiket konsert boleh didapati di www.fantopia.io dan rwgenting.com bermula 20 November 2025 hari Khamis, mulai jam 3 petang, pada harga RM988 (VIP), RM788 (PS1), RM588 (PS2), RM488 (PS3) dan RM288 (PS4). Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan sebanyak RM4.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti @ht.entertainmentcompany di Instagram.
