(HIBURAN) JOOX melancarkan single JOOX Originals baharu dan eksklusif “Jalan” yang menampilkan 15 artis tempatan untuk memberi inspirasi kepada Malaysia

Spread the love

[Kuala Lumpur – 9 Disember, 2021] – Di saat kita menghadapi cabaran kehidupan akibat pandemik COVID-19 yang terus memberi kesan kepada pelbagai bidang termasuklah industri muzik dan hiburan, JOOX – platform muzik dan hiburan paling berdedikasi di Asia, hari ini dengan bangganya melancarkan lagu JOOX Originals bertajuk “Jalan”, dengan mesej semangat perpaduan dan harapan untuk Malaysia dan boleh mula didengarkan pada 10 Disember.

Lagu ini yang merupakan sebahagian daripada kempen JOOX #SUPPORTLOCAL menampilkan kolaborasi 15 artis ternama dan baharu tanah air dari generasi berbeza. Mereka terdiri daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Sufian Suhaimi, Aziz Harun, Luqman Faiz, Danial Chuer dan Fieya Julia. 

Tidak ketinggalan barisan penyanyi baharu yang cukup berbakat seperti Firdaus Rahmat, Daniesh Suffian, Aniq Iffat, Aisha Retno, Ajoi Zainal, Khodi, Haikal Farid, ERIN CTJ serta penampilan istimewa watak animasi kanak-kanak kesukaan ramai, Didi & Friends.

Lagu yang boleh distrim secara eksklusif di JOOX ini turut boleh dimuat turun sebagai nada dering dan hasil kutipannya akan disumbangkan kepada dana kecemasan yang diuruskan oleh RIM untuk membantu pemuzik tempatan yang dalam kesusahan. Selain itu, muzik video lagu ini pula akan dilancarkan pada 24 Disember.

Ketua JOOX Malaysia, Angie Tan berkata, “Penggiat muzik di Malaysia sentiasa menjadi penyumbang dan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya tempatan. Saya berharap ‘Jalan’ dapat memberikan inspirasi dan 

menaikkan semangat Malaysia. Saya juga sudah tidak sabar untuk peminat muzik tempatan mendengarkan lagu hasil kerjasama luar biasa artis-artis kegemaran mereka dan artis baharu yang akan menjadi idola di masa hadapan, bersama dengan watak kartun kegemaran mereka.”

Menurut Faizal Tahir yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan JOOX, projek lagu “Jalan” dianggap berbeza dan unik kerana ia memberi satu mesej dan impak positif kepada rakyat Malaysia.

“Ini adalah satu sebab mengapa saya mengambil baik peluang untuk turut terbabit dalam pembikinan lagu “Jalan” ini. Pada saya ini satu usaha dan idea yang sangat baik daripada JOOX kerana ia turut membabitkan artis senior dan baharu. 

“Sekaligus dapat mencapai sasaran khalayak yang lebih besar dan meraih pendengar yang lebih ramai dari pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat. Selain itu ia dapat memberi satu mesej positif melalui kerjasama artis dari generasi berlainan yang menunjukkan kita semua bersatu hati dalam menyampaikan sesuatu yang baik,” katanya.

Faizal berkata, apa yang pihak JOOX mahukan dari projek ini sudah jelas dari mula. 

“Matlamat utama lagu ini adalah untuk memberi semangat dan mesej yang positif kepada setiap individu. Jadi dari penghasilan lagunya tidak mengambil masa yang begitu lama. Aziz Harun turut membantu dalam penghasilan lagu dan ini banyak membantu kerana mendapat sentuhan dan perspektif dari generasi baru. 

“Cabaran utamanya adalah dalam memilih artis terbabit dan untuk mendapat semuanya hadir ke studio untuk sesi rakaman kerana keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika itu. Walaupun begitu semua artis memberikan komitmen dan vokal yang cukup baik untuk menghidupkan lagu “Jalan”,” katanya.

Bagi penyanyi yang pernah menjulang tiga kali berturut-turut trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL), Dayang Nurfaizah berkata, gabungan artis lama dan baharu dalam projek lagu “Jalan” ini sesuatu yang bagus untuk industri muzik tanah air.

“Projek ini adalah satu inisiatif yang bagus daripada pihak JOOX untuk industri muzik tanah air. Saya berasa gembira kerana dapat turut serta dalam projek ini. Apatah lagi ramai artis terbabit baik senior mahupun junior. Kita semua bersama untuk satu matlamat. Bagi saya ini sesuatu yang bagus untuk industri muzik kita.

“Keunikan lagu ini terletak pada lirik yang sangat bermesej dan bermakna sekaligus mudah difahami oleh generasi sekarang. Pastinya melodi lagu ini yang ‘catchy’. Apabila nak nyanyi, korusnya senang untuk kita nyanyikan bersama,” katanya.

Sementara itu, penyanyi asal Brunei, Aziz Harun menyifatkan penghasilan lagu Jalan sesuai dengan seluruh kelompok masyarakat yang melalui fasa pandemik Covid-19 ini.

“Saya sangat suka inisiatif yang dibuat oleh JOOX sebab ia sangat bermakna dan boleh menolong kehidupan artis yang mungkin gigih meneruskan kehidupan ketika Covid-19 ini. Tambah lagi lagu ini dihasilkan dengan cara yang sangat kreatif dan efektif. Saya harap inisiatif ini akan berterusan dan boleh membawa manfaat dan menolong situasi artis yang terkesan kerana Covid-19.

“Selain dari lagu ini diterbitkan dan ditulis dengan bunyi dan genre yang sangat baharu, lirik lagu memang sangat bererti dan relevan kepada semua orang yang sedang melalui fasa pandemik Covid-19 dan sebelumnya PKP. Tambah lagi banyak karakter vokal dan suara unik yang setiap artis bawa pada lagu ini.

“Sejujurnya peluang kali ini untuk merakamkan lagu dengan ramai rakan artis memang teruja. Tambah lagi dengan penyanyi senior dan ‘legend’, jadi lebih semangat untuk nyanyi dan boleh belajar dan melihat mereka bekerja. Sekarang saya sudah boleh kata ada lagu dengan Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah,” katanya.

Pembabitan penyanyi baharu, Aisha Retno dan Khodi memberikan satu lagi pengalaman berharga dalam kerjaya muzik mereka. Selain menyifatkan peluang diberikan JOOX untuk terbabit dalam projek lagu Jalan itu dianggap satu penghormatan buat mereka.

“Terima kasih pihak JOOX memberi peluang untuk artis baharu seperti kami untuk bekerjasama di dalam projek hebat ini. Bagi kami ia membuka mata kepada pendengar muzik bahawa dengan kewujudan karya ini yang mana penyanyi senior dan baharu dapat menghasilkan keserasian yang baik disebabkan lagu yang memberi makna yang mendalam mengenai erti kebersamaan untuk sama sama berjalan di saat saat genting seperti kini.

“Melalui lagu ini artis baharu seperti kami dapat belajar dan mengikut jejak langkah artis senior untuk menghasilkan lagu dengan lebih baik. Manakala artis senior pula boleh berkongsi pengalaman melalui lagu ini mengenai pengalaman yang mereka pernah lalui selama bergelar penyanyi kepada artis baharu menerusi lagu “Jalan” ini,” katanya.

Lagu hit dan artis paling paling popular dalam muzik pop Malaysia tersedia untuk anda dengarkan dan nikmati di JOOX. Dengan lebih daripada 40 juta lagu dalam pustaka muziknya dari seluruh dunia, JOOX menghubungkan anda dengan artis, lagu, album dan senarai main yang dapat diperibadikan mengikuti kegemaran anda. Nikmati pilihan muzik anda pada bila-bila masa, di mana sahaja dengan memuat turun aplikasi mudah alih atau desktop JOOX pada  Apple App Store dan Google Play Store, atau layari laman sesawang JOOX website

– End –


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *