Menggarap filem dalam suasana pandemik dan cuba mengangkat keadaan sebenar yang cukup payah dilalui seluruh rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia umumnya bukan sebuah projek yang mudah dilakukan.
Namun, layak seperti judulnya JUANG, perjuangan produksi, para kru dan pelaku seni yang cukup berdedikasi untuk memastikan naskhah bersejarah yang wajib menjadi rujukan ini terlaksana perlu diberikan pengiktirafan yang besar.
JUANG dilahirkan dari isi hati dan perspektif lima sutradara prolifik negara iaitu Aziz M Osman, Datuk Yusry Abdul Halim, Matt Lai, Kabir Bhatia serta Osman Ali sebagai penghormatan dan apresiasi yang tiada galang ganti kepada para frontliners di Malaysia.
Idea dan kritisnya pandangan mereka mengenai sejarah penuh duka saat COVID 19 ‘membadai’ dunia dan negara kemudian direalisasikan hasil kolaborasi oleh Founder dan Lead Director, Matt Lai dari Asia Tropical Films Sdn. Bhd., dan Jack Lim dari The Film Engine selaku Penerbit Eksekutif.
Memantapkan projek mega ini adalah barisan 500 karyawan seni yang tidak mahu melepaskan peluang memberikan dedikasi sekaligus mencipta sejarah buat filem yang disifatkan untuk rakyat Malaysia ini.
Juang Diiktiraf Malaysia Book Of Records, Cipta Rekod Karyawan Paling Ramai Terbabit Dalam Satu Naskhah
Lebih membanggakan hasil seni ini mencipta rekod apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Most Movie Casts In A Feature Film (Filem Dengan Karyawan Seni Paling Ramai) dengan pembabitan lebih 500 pemain industri hiburan tempatan.
“Kolaborasi antara Asia Tropical Films Sdn Bhd bersama The Engine Sdn. Bhd. ini berjaya menerima pengiktirafan dari MBR apabila produksi ini membabitkan 335 pelakon dengan 100 adalah aktor dan aktres utama manakala 235 dijayakan bersama pelakon tambahan.
“Lima pengarah hebat dibantu 165 tenaga di sebalik tabir yang cukup komited juga telah menjadikan JUANG sebagai sebuah naskhah yang meninggalkan sejarah tersendiri,” ujar Matt Lai.
Meski setelah semuanya siap untuk dipersembahkan kepada penonton, namun kekangan pandemik membuat JUANG perlu ‘bersabar’ untuk memperlihatkan pengisian naskhah ini.
Kini, pada saat yang sangat tepat dan fasa endemik, JUANG akan menakluk pawagam di seluruh negara bermula 8 September 2022.
“Saya menyifatkan JUANG ditayangkan pada waktu yang tepat untuk memberikan momen peribadi atau mengenang semula perjuangan, keperitan, kesedihan atau sejarah yang telah merubah dunia secara am dan kehidupan setiap daripada kita berbanding dahulu”.
“Di dalam JUANG, kita misalnya punya kisah tentang bagaimana seseorang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata, keluarga berantakan dan paling penting adalah pengorbanan besar yang telah dilakukan setiap individu yang kita gelar mereka sebagai adiwira iaitu para frontliners,” ujar Jack Lim pula.
JUANG yang dibarisi aktor dan aktres handalan berbilang kaum termasuk Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor ini akan memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam ini.
Filem ini diperkuat dengan lagu tema Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik terbaik dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Turut menambahkan keistimewaan JUANG apabila pesohor nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza terlibat mendendangkan lagu tema berjudul Sama Sama.
Pelancaran NFT Tema Juang Sebagai NFT Filem Amal Yang Pertama Di Malaysia
Sementara itu, syarikat media digital WebTVAsia yang juga penerbit eksekutif bersama mengumumkan keluaran khas NFT (Non-Fungible Token) filem amal (charity film NFT) yang pertama dalam industri filem Malaysia, menerusi pelancaran laman rasmi https://nft.juangthemovie.com.
Sebanyak 450 NFT edisi eksklusif rekabentuk unik NFT pelakon JUANG termasuk Zizan Razak, Zul Ariffin, Janna Nick, Jack Lim, Sangeeta Krishnasamy dan Haoren sudah mula dijual kepada awam. Kesemua kutipan akan didermakan kepada pertubuhan amal “Thrive Well” dan “The Hope Branch.
Untuk memperingati jasa serta pembabitan Allahyarham Adibah Noor di dalam JUANG, satu rekabentuk unik NFT edisi eksklusif buat Allahyarham akan dilelong semasa Malam Gala Karpet Merah JUANG. Hasil sumbangan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.
Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia Fred Chong berkata: “Kami berharap dengan inisiatif digital NFT ini dapat menaik-taraf industri kandungan kreatif negara khususnya dalam menawarkan peluang komersial serta bentuk promosi jenama baharu kepada para penggiat seni.”
Jangan lupa untuk memberikan sokongan dan tanda penghargaan terhadap para frontliners kita dengan menonton JUANG, yang juga pasti akan membangkitkan perasaan haru bagaimana kita semua mampu melepasi pandemik tersebut dengan serba payah.
Jumpa anda di pawagam 8 September 2022. Para peJUANG menanti anda!