Konsert ‘Makan Malam Amal The Legends’ yang berlangsung di Dewan Perdana Felda pada 2 Jun 2024 yang lalu telah berjaya mengumpul dana lebih RM100,000. Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata konsert makan malam amal itu bertujuan mengumpul dana dan membantu penggiat seni veteran yang berdepan kesulitan hidup, termasuk uzur dan hilang upaya, yang memerlukan bantuan secara konsisten.
Selain hasil jualan meja, kutipan juga dikumpul menerusi pembelian produk terbaharu di bawah jenama mi segera tempatan Vit’s, iaitu Ramen Asam Laksa yang dilancarkan bersempena dengan konsert amal itu hasil kolaborasi dengan Khadijah.
Konsert amal anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu menyaksikan persembahan bertenaga daripada beberapa artis ternama tanah air, antaranya Datuk Khadijah Ibrahim, Rahimah Rahim, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Awie.
Tirai konsert dibuka dengan persembahan daripada Harry Kool, Norshila Amin dan Ezlynn menerusi lagu Right Here With Him, Never Enough, Rambu Ramba, One More Valentine dan Hi Hi Bye Bye.
Suasana semakin rancak apabila pentas diambil alih oleh Khadijah yang menyanyikan lagu-lagu popular beliau, antaranya Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Potret Kasih, Ku Gembira di Sampingmu dan Ku Pendam Sebuah Duka.
Khadijah turut mendendangkan lagu istimewa Getaran Jiwa yang digubah dan dirakam oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan susunan baharu, berduet dengan cucu Seniman Agung Negara itu, Najua Nasir, sebelum diakhiri dengan lagu Mencintaimu sebagai penghargaan buat tokoh seni tersohor dalam pelbagai bidang yang telah meninggal dunia.
Kemunculan Rahimah Rahim yang mesra disapa Kak Gerl, menggamit memori dan membuai perasaan penonton menerusi untaian klasik, Cabaran Cinta, Semanis Manis Gula dan Gadis dan Bunga.
Penyanyi yang terkenal dengan julukan “Papa Rock”, Ramli Sarip mengubah suasana majlis daripada formal kepada sedikit santai apabila mendendangkan lagu puisi Bukan Kerna Nama dan Perjalanan Hidup, sebelum tetamu dibawa menyingkap kenangan silam menerusi lagu Doa Buat Kekasih, hasil paduan suaranya dengan Khadijah.
Suasana menjadi gamat saat Awie muncul di pentas membawakan lagu Layang-Layang Terputus Talinya, Sejati dan Di Penjara Janji yang menguji kemampuan beliau membawakan lagu bernada tinggi sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu popularnya Terima Kasih.
Persembahan mantap para “otai” dunia hiburan terbabit turut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman yang hadir sebagai tetamu. Hadir sama Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon dan isteri.
Persembahan kesemua artis diiringi pemuzik daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).