Aris Ariwatan adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam industri hiburan tempatan. Pelantun lagu malar segar Lamunan Terhenti dan Permaidani ini bergabung tenaga dengan Clixster Music Sdn Bhd, telah melancarkan single pertama “Kerna Cinta” di alam siber iaitu iTunes dan KKBox.
Lagu Kerna Cinta mula dimuat naik ke portal muzik atas talian iTunes dan KKBox, sejak 19 Januari 2015. Peminat Aris Ariwatan kini boleh memuat turun lagu tersebut dengan kadar bayaran sama seperti lagu-lagu lain yang tersenarai di dalam portal muzik atas talian itu.
Selain iTunes dan KKBox, lagu Kerna Cinta juga akan dimuat naik ke portal muzik atas talian lain seperti Spotify dan Deezer tidak lama lagi. Ia bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat dan pendengar untuk akses kepada lagu terbaru nyanyian Aris Ariwatan itu.
Aris Ariwatan berkata, “Kerna Cinta merupakan cenderahati untuk peminat-peminat yang sentiasa menunggu kemunculan hasil nyanyian saya, dan saya juga memilih untuk melancarkan lagu saya di alam siber terlebih dahulu kerana trend semasa lebih kepada medium di media digital”.
Lagu Kerna Cinta merupakan hasil ciptaan Noor Ismeerea Hanim yang juga penulis liriknya. Lagu itu mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri dan dijangka bakal menjadi hit.
“Saya juga berterima kasih kepada Clixster Music kerana memberikan ruang kepada pengkarya seni seperti saya untuk terus aktif dan menyumbang secara berterusan kepada kemeriahan lanskap industri muzik Malaysia”, tambah Aris Ariwatan.
Menurut Aris lagi, lagu Kerna Cinta merupakan salah satu lagu yang terkandung di dalam album terbarunya terbitan Clixster Music Sdn Bhd yang turut memuatkan beberapa lagu lain lagi seperti Permata, Buah Tangan Buat Buah Hatiku, Merdeka dan Jangan Menangis Habibah.
Pelancaran rasmi album penuh terbaru Aris Ariwatan itu akan dibuat tidak lama lagi oleh pihak Clixster Music Sdn Bhd yang kini sedang menunggu masa yang sesuai.
Untuk rekod, Aris Ariwatan merupakan artis pertama di bawah label syarikat baharu Clixster Music Sdn Bhd. Othman Masri atau lebih dikenali sebagai Man Senoi merupakan tulang belakang kepada penerbitan album ‘Kerna Cinta’ dan bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Menurut Man Senoi, “industri muzik di negara ini kini bergerak maju dan seiring dengan industry muzik di luar negara di mana ramai artis telah memilih kaedah promosi dan pemasaran lagu-lagu mereka secara dalam talian yang dilihat lebih berkesan dan menguntungkan berbanding kaedah konvensional iaitu penjualan album berbentuk fizikal yang dihantui oleh gejala cetak rompak.