(HIBURAN) KISAH BENAR MAHAGURU SILAT DATUK MEOR ABDUL RAHMAN DIANGKAT DALAM FILEM ‘GAYONG’

Spread the love

Filem seni bela diri selalunya sering mendapat tempat dalam kalangan penonton yang gemarkan filem-filem aksi. Melihat kepada perkembangan tersebut, ia telah memberi inspirasi kepada syarikat SOL Pictures Sdn Bhd menghasilkan sebuah filem aksi yang mengetengahkan seni bela diri silat iaitu Gayong.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, tujuan pembikinan filem berkenaan adalah usaha mereka untuk mengangkat kisah seorang jaguh seni bela diri Malaysia..

“Kalau di Hong Kong, adanya kisah tentang IP Man yang cukup terkenal dengan Wing Chun. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita hasilkan sebuah filem tentang ikon seni bela diri tempatan yang wajar sekali kita banggakan.”

“Menerusi perbincangan, kami sepakat untuk mengangkat kisah Datuk Meor Abdul Rahman yang juga merupakan pengasas kepada Silat Seni Gayong,” ujarnya.

Khairul berkata demikian ketika majlis pelancaran filem Gayong yang berlangsung di UPM, Serdang, hari ini.

Bakal diarahkan oleh Faisal Ishak, filem Gayong menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy yang membawakan watak pengasas seni bela diri tersebut, selain Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama.

Ujarnya, apa yang lebih menarik lagi apabila turut ditampilkan dua pelakon aksi popular dari Yayan Ruhian (Indonesia) dan Chevanon Phukaokaew (Thailand).

Jelasnya lagi, dalam proses pembikinan filem berkenaan, pihaknya juga telah membuat temuramah bersama anak sulung allahyarham iaitu Hajah Siti Fadzillah.

“Menerusi temuramah tersebut, banyak perkara menarik yang diceritakan berkenaan Allahyarham bapanya itu dan ia memberikan sokongan sepenuhnya untuk kami menghasilkan filem ini.”

“Kami merasakan perjuangan beliau sebagai seorang pengasas seni bela diri Silat Gayong ini adalah sebagai satu ‘warisan’ yang boleh dijadikan sumber rujukan untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Menurutnya, penggambaran akan dimulakan pada 5 Oktober ini di beberapa buah lokasi seperti Sedili, DesaruBagan Lalang, Pantai Jengkok, Kelang, Tanjong Karang, Ipoh dan beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

“Untuk tarikh tayangan pula, kami sasarkan agar filem ini dapat ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mei 2025,” ujarnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *