Kuala Lumpur, 1 Julai 2025 – Kumpulan idola yang semakin meningkat naik dari Kuala Lumpur, KLP48, bakal menyambut ulang tahun pertamanya dengan sebuah konsert istimewa bertajuk “〜BLOOM〜” yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 5.30 petang di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini dianjurkan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd, dan bakal menampilkan persembahan bertenaga serta tarian koreografi menarik daripada barisan ahli KLP48 yang penuh semangat dan berbakat. Majlis ini juga menjadi simbolik kepada semangat kerjasama dan persahabatan antara budaya dalam dunia idola.
Ditubuhkan pada tahun 2024 sebagai sebahagian daripada rangkaian global AKB48 dari Jepun, KLP48 merupakan cawangan terbaru dalam pengembangan konsep unik “idola yang anda boleh temui” yang diasaskan oleh penerbit tersohor Yasushi Akimoto.
AKB48 yang telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia, kini memberi laluan kepada KLP48 untuk mewarisi dan meneruskan legasi tersebut dengan sentuhan unik berbilang budaya.
KLP48 terdiri daripada 13 ahli, merangkumi 7 warga Malaysia, 4 dari Jepun, 1 dari Indonesia, dan 1 dari Hong Kong. Menariknya, kumpulan ini turut menampilkan tiga ahli pemindahan dari AKB48 dan seorang dari STU48, yang membawa pengalaman antarabangsa serta kehadiran idola yang lebih matang.
Sejak penubuhannya, KLP48 telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah turut mendapat sambutan di Jepun. Ahli kumpulan ini telah dijemput untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, dan menyifatkan sokongan peminat dari seluruh dunia sebagai pencetus semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan.
Bagi persiapan menjelang konsert Ogos ini, kumpulan tersebut giat menjalani latihan intensif termasuk latihan vokal, koreografi serta perbincangan kreatif bagi memastikan persembahan terbaik kepada para peminat.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga artis jemputan istimewa. Antaranya, kumpulan pop wanita tempatan yang sedang meningkat naik, COËX, dikenali dengan lagu-lagu bertenaga dan tema kekuatan wanita yang mendapat sambutan hangat di platform penstriman tempatan.
Turut membuat penampilan ialah penyanyi solo popular, Ismail Izzani, yang dikenali dengan gabungan genre R&B dan pop serta memiliki jutaan pendengar sejak debutnya pada usia 17 tahun.
Tidak ketinggalan, JKT48, kumpulan adik AKB48 dari Indonesia dan juga kumpulan luar negara pertama dalam keluarga 48 Group, turut hadir memeriahkan acara. Berpusat di Jakarta, JKT48 merupakan peneraju dalam memperkenalkan budaya idola Jepun ke Asia Tenggara dan terus kekal sebagai antara kumpulan idola paling berjaya di rantau ini.
Tiket konsert akan mula dijual pada hari Khamis, 3 Julai 2025, jam 12 tengah hari melalui laman sesawang www.excitix.com.my. Setiap transaksi dihadkan kepada dua tiket, dan harga tiket adalah seperti berikut (tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4):
- CAT 1 – RM200
(Manfaat Peminat: Bendera KLP48 dan berpeluang menyertai sesi penghantaran istimewa
(send-off session) bersama semua artis terlibat.)
- CAT 2 – RM100
(Manfaat Peminat: Bendera KLP48.)
- CAT 3 – RM350
(Manfaat Peminat: Bendera KLP48 dan berpeluang menyertai sesi penghantaran istimewa (send-off session) bersama semua artis terlibat.)
Untuk perkembangan terkini, ikuti @klp48_official di TikTok, serta @KLP48official di Instagram dan Facebook, atau layari www.klp48.my.

