KUALA LUMPUR 12 September 2022 – Konsert sulung Faztival Fazura 2022 yang telah diadakan Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi telah berlangsung dengan gilanggemilang. Konsert dimulakan dengan nyanyian pembukaan oleh YBhg. Dato’ M. Nasir serta penampilan khas Fattah Amin dengan aksi silat mengiringi lagu “Mentera Semerah Padi” di hadapan lebih 8 ribu penonton.
Konsert yang dianjurkan dibawah jenama Fazura tersebut turut menghimpunkan penyanyi terkemuka tempatan yang lain seperti YBhg. Dato’ Awie dan Ratu Rock Malaysia, Ella. Selain dari itu, konsert Faztival juga telah digamatkan dengan persembahan memukau daripada kumpulan Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Pengasas Fazura, Nur Fazura binti Sharifuddin yang lebih mesra dikenali sebagai Faz, meluahkan rasa sangat terharu beliau dengan sambutan luar biasa terhadap konsert sulung Faztival pada tahun ini dan berharap untuk menjadikan Faztival Fazura sebagai acara tahunan anjuran syarikatnya.
“Alhamdullillah Faz bersyukur kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa dan tidak menyangka dapat mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records”
Konsert Faztival Fazura 2022 telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dengan penciptaan dua rekod baharu peringkat kebangsaan iaitu The Largest ‘Tudung Fazura’ Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.
Serentak dengan penganjuran konsert tersebut, Faz juga telah melancarkan produk terbaru dipasarkan syarikatnya iaitu Fazura BeautyWater, minuman tanpa gula yang diperkaya dengan lycopene, untuk mencantikkan kulit secara semulajadi.
Sorakan berterusan penonton di Axiata Arena malam tadi turut diserikan oleh nyanyian Nur Fazura sendiri dengan medley lagu popular beliau dan diakhiri dengan gubahan semula lagu “Jika Cinta Allah” yang diiringi petikan gitar akustik oleh Ahmad Dhani.
Ahmad Dhani dan Mulan adalah dua orang artis Indonesia jemputan khas yang telah membuat persembahan pada konsert sulung Faztival malam tadi. Konsert Faztival Fazura 2022 diakhiri oleh persembahan khas Ahmad Band yang diketuai Ahmad Dhani.
Selain daripada menghargai para peminatnya, anjuran konsert seperti ini juga disasarkan oleh syarikat Fazura untuk membantu merancakkan industri hiburan tanahair dan kegiatan ekonomi industri hiliran yang lain seperti pelancongan dan Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) tempatan yang telah banyak menerima kesan akibat pandemic COVID-19, selaras dengan aspirasi #MilikSemua.