Kuala Lumpur, 30 September 2025 – KRU Studios dan Astro Shaw mempersembahkan sebuah filem drama penuh konflik dan emosi berjudul “3 Hajat”, arahan pelakon dan pengarah prolifik, Zul Huzaimy. Filem ini menampilkan lakonan hebat pelakon tersohor tanah air, Eman Manan, gandingan mantap Amerul Affendi, serta kemunculan wajah baharu yang dijangka mencuri perhatian, Iman Aneesa.
Filem ini mengisahkan perjalanan Awang (lakonan Eman Manan), seorang bekas banduan yang berlawan dengan masa akibat penyakit kronik, untuk menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq (lakonan Amerul Affendi). Namun, hubungan itu jauh daripada mudah kerana Tawfiq sendiri bergelut dengan tekanan hidup dan sejarah hitam yang membelenggu jiwanya.
Menurut Zul Huzaimy, “3 Hajat” bukan sekadar sebuah filem bergenre drama biasa, tetapi satu eksplorasi tentang penebusan, perdamaian dan ikatan kekeluargaan yang disampaikan dalam kualiti sinematik. “Filem ini mengangkat dua watak anti-hero dengan sisi gelap masing-masing, yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil,” jelasnya.
Berlatarbelakangkan keindahan perkampungan nelayan di Terengganu, penggambaran “3 Hajat” telah mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu pada Oktober lalu. Sebuah Tayangan DiRaja turut diadakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan tayangan filem ini, sekaligus menyempurnakan majlis bersejarah tersebut. Turut berangkat pada majlis tayangan tersebut adalah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.
Astro Shaw, selaku penerbit bersama, turut berkongsi keterujaan tentang filem “3 Hajat”.
Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif “3 Hajat” merangkap Ketua Astro Shaw berkata, “Hubungan Astro Shaw dan KRU Studios telah terjalin lebih sedekad menerusi beberapa projek dan keserasian itu diteruskan dengan filem 3 Hajat.
Mempertaruhkan kisah yang dekat dengan masyarakat kita, kami yakin genre drama seperti ini mampu memikat hati penonton, apatah lagi dengan jalan cerita, kualiti visual serta gaya pengarahan yang kemas. Istimewanya lagi, 3 Hajat digerakkan oleh gandingan hebat bintang senior Eman Manan dan pelakon versatile Amerul Affendi yang mempamerkan persembahan luar biasa.
KRU Studios sinonim dengan kekuatan teknikal dan teknologi, manakala Astro Shaw menerusi aset, pemasaran dan tenaga kreatif. Justeru kami mengharapkan sinergi ini mampu mencipta impak bermakna kepada industri.”
“Filem ini menandakan satu detik bersejarah buat KRU Studios kerana ia merupakan filem bergenre drama eksperimental pertama kami. Kami berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu filem sebegini setahun dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional, sambil menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti di Malaysia.” ujar Dato’ Norman Abdul Halim, Penerbit Eksekutif mewakili KRU Studios.
Sesi tayangan media yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini memberi peluang kepada pengamal media menyaksikan karya istimewa ini yang dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dari segenap lapisan masyarakat.
Filem “3 Hajat” bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober 2025. Penonton dijanjikan sebuah pengalaman sinematik yang sarat dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang, penyesalan dan pengharapan menjadikan “3 Hajat” antara karya drama paling dinanti tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi www.3hajat.com
