Tahun baru, muzik baru! Konsert LOKALOKO 2026 bakal membuka tirai pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur, membawa gabungan rentak Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas. Bukan sekadar konsert, genre, generasi atau sempandan tetapi ianya tentang satu manifestasi yang menyatukan semua.
Konsert ini dibahagikan kepada dua sesi, masing-masing dengan vibe tersendiri.
Butterfingers ft Amir Jahari – 3 Petang
Segmen pertama bakal menampilkan Butterfingers, kumpulan yang berpaksikan irama grunge dan tidak perlu diperkenalkan lagi, kini mereka kembali menggegarkan pentas. Terkenal dengan lagu-lagu ikonik seperti “The Chemistry (Between Us)” dan “Faculties of the Mind”, Butterfingers dikenang sebagai simbol zaman keemasan muzik alternatif 90-an tempatan. Lebih menarik, konsert ini akan menampilkan persembahan khas penyanyi dan komposer berbakat besar, Amir Jahari anak kelahiran Kuching yang terkenal dengan suara merdu dan lagu-lagu beremosi seperti “Hasrat” dan “Tanpamu (Re-Imagine feat. Nana Sheme)”. Gabungan dua generasi ini dijangka menghadirkan pengalaman muzik luar biasa di mana semangat rock Butterfingers berpadu dengan kelembutan jiwa akustik Amir Jahari, bakal membawa penonton menelusuri perjalanan emosi dan nostalgia.
The Lantis ft FUGŌ – 8 Malam
Segmen malam pula menjanjikan getaran lebih segar dengan kemunculan The Lantis, kumpulan pop retro dari Indonesia yang kini mencuri perhatian peminat muzik serantau. Dikenali menerusi lagu viral mereka “Lampu Merah” dan “Bunga Maaf”, The Lantis membawa elemen nostalgia 70-an dan 80-an ke dalam pop kontemporari yang mesra telinga generasi muda. Mereka akan berkongsi pentas dengan Fugo, band indie tempatan yang kian menyerlah dengan identiti unik serta nuansa nu-vintage. Lagu seperti “Pentas Sandiwara” dan “99” membuktikan kemampuan mereka mempersembahkan muzik yang kreatif, segar dan berjiwa global.
Menurut penganjur, Milestone Entertainment, LOKALOKA bukan sekadar konsert, ia menjadi ruang untuk artis lama dan bakat baharu berkongsi pentas, mencipta kenangan baharu buat penonton dari pelbagai generasi.
Harga tiket bermula dari RM148 dan anda boleh mendapatkan pakej bundle untuk tiket Standing, memberikan akses ke kedua-dua sesi dengan harga istimewa. Semua harga tiket tertakluk kepada yuran tempahan RM6 dan cukai SST 8%, manakala pemegang kad Maybank layak menikmati diskaun 10%. (Tertakluk kepada terma dan syarat)
Tiket boleh didapati di: ticketmelon.com/lokaloko/MY dan Untuk info lanjut boleh layari: milestone-entertainment.com

