Kuala Lumpur, 13 Februari 2026 – Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia telah berjaya menganjurkan Bengkel Kreatif OKU Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) buat julung kalinya dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), melibatkan penyertaan seramai 30 peserta dalam kalangan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Program yang berlangsung dari 10 hingga 12 Februari 2026 ini telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Majlis penutup serta penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, bersempena sambutan Hari Radio Sedunia pada 13 Februari 2026.
Bengkel ini merupakan cetusan idea Encik Azmi Jaffri, Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, yang melihat keperluan menyediakan platform khusus bagi mengetengahkan bakat golongan OKU dalam bidang seni suara dan lakonan radio satu cabang seni yang jarang diberikan perhatian, namun mempunyai potensi besar dalam industri penyiaran dan kandungan audio.
Menurut beliau, ramai individu OKU memiliki bakat tersendiri tetapi berdepan keterbatasan untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam arus perdana industri penyiaran. Justeru, bengkel ini diwujudkan sebagai usaha memperkasakan bakat mereka melalui latihan profesional dan bimbingan industri.
Peserta bengkel terdiri daripada pelbagai kategori OKU termasuk fizikal, pendengaran, pembelajaran dan mental. Program latihan ini memberi fokus kepada teknik pernafasan, tonasi suara, artikulasi dan sebutan yang jelas elemen penting dalam penghasilan drama radio, alih suara (voice over), pengiklanan audio serta animasi.
Tenaga pengajar yang terlibat merupakan individu berpengalaman dalam industri seni dan penyiaran, antaranya:
- Datuk Fauziah Nawi – Penasihat Program dan pelakon berpengalaman termasuk dalam drama radio
- Cikgu Siti Hajar Ismail – Mantan Guru Vokal Akademi Fantasia
- Adam Shahz – Pemenang Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi filem Juvana 2
Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah Encik Rosnan Nordin, mantan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta bekas penerbit radio.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen pihak penganjur dan FINAS dalam memperluas akses latihan industri kepada golongan OKU serta membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang suara latar, pengiklanan audio dan produksi animasi.
Diharapkan stesen televisyen dan radio, sama ada kerajaan mahupun swasta, dapat menyokong aspirasi ini selaras dengan Dasar Malaysia MADANI khususnya teras Ihsan, dengan memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu dalam kalangan komuniti OKU.
Program ini membuktikan bahawa industri kreatif mampu menjadi platform inklusif yang memberi nilai tambah kepada masyarakat secara menyeluruh.

