(HIBURAN) MALAM GALA TAYANGAN FILEM ‘ANAK RIMAU THE MOVIE’ KISAH INSPIRASI UNTUK BELIA MUDA MALAYSIA

Spread the love

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2022 –Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memberi sokongan atas usaha penghasilan filem Anak Rimau The Movie yang menjalani penggambaran dalam tempoh mencabar pada era pandemik.

Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, malah, mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak. Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.Ia juga dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memuji pasukan produksi Anak Rimau atas kecekalan menerbitkan filem ini. “Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru Anak Rimau The Movie dapat menghabiskan penggambaran filem, meskipun diuji dengan pandemik. “Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan memiliki sifat kepimpinan tinggi. Aspek ini juga ditanam dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie iaitu memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia,” ujarnya. Beliau hadir pada Malam Gala Filem Anak Rimau The Movie di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem memainkan peranan penting sebagai menjadi medium komunikasi kepada anak muda untuk melakukan perubahan dalam hidup. “Saya percaya filem Anak Rimau The Movie mampu memberi impak, pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat. “Tujuan pembikinan filem bukan sahaja memberi semangat kepada anak muda, tetapi bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan bagi membantu membina asas kukuh untuk transformasi Malaysia,” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy. Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam. Disifatkan satu kisah menyentuh hati yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, keputusan sukar, integriti dan persahabatan, majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie turut selari dengan Bulan Kemerdekaan, sekali gus menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan melabuh tirai, tidak lama lagi.

Anak Rimau The Movie memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy). Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.

Pemain perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir mengenai kemenangan. Keazaman dan ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.

Selain itu, filem ini juga menekankan kebaikan akan sentiasa datang kepada mereka beriman dan berani berpegang kepada kebaikan dalam diri dan orang lain seperti slogan Anak Rimau The Movie –  ‘bola itu bulat’.

Antara tetamu VIP yang hadir untuk memberi sokongan di tayangan perdana filem tersebut termasuk:

  • YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
  • YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • YM Tengku Dato’ Hishamuddin Zaizi bin YAM Tengku Azman Shah Al-haj
  • Encik Syirfan Indra Mitra Suryabin Hussin, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewakili Professor Dr. Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS
  • Datuk Santokh Singh Gurdial Singh PMW DSIS AMN, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Datuk N. Thanabalan A/L Nadarajah, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Dato’ Zainal Abidin Hassan, bekas pemain bola sepak dan jurulatih Penang Football Club Sdn. Bhd
  • Farah Ann, bekas Olimpian gimnastik negara
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA)

Pencinta bola sepak dan peminat filem kini boleh menonton Anak Rimau The Movie yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada tanggal 1 September 2022 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan serta Kejohanan Piala Dunia 2022. Lagu tema rasmi dan muzik video bagi Anak Rimau The Movie yang bertajuk Pentas Dunia boleh dilayari di YouTube – https://www.youtube.com/watch?v=H8tQyrq_u5w.

Para penonton boleh mendapatkan merchandise eksklusif Anak Rimau yang khas direka oleh Al-Ikhsan Sports menerusi laman web rasmi www.al-ikhsan.com dan www.alsports.com.my bermula dengan harga serendah RM19.90 sehingga RM99.00.

Anak Rimau The Movie dihasilkan dengan kerjasama di antara Cyberlynx International College dan Al-Ikhsan Sports.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman rasmi Instagram: anakrimau.my, #AnakRimau


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *