Asia Empire Record & Kumpulan Monosterio hari ini secara rasmi melancarkan album terbaru mereka berjudul “TARI WARNA” sempena ulang tahun ke-20 perjuangan mereka dalam Industri Muzik Tanah Air sebagai sebuah kumpulan muzik yang bergerak secara indipenden. Monosterio juga mengadakan showcase live mereka di majlis pelancaran ini secara eksklusif.
Album penuh ini memuatkan 10 buah lagu serta 5 lagu bonus, menjadikan jumlah keseluruhan 15 buah lagu. Selain itu, dua buah muzik video bagi single utama bertajuk “Boneka” dan “Tari Warna” turut dilancarkan.
Album “TARI WARNA” akan tersedia dalam format steel pendrive edisi khas manakala rilisan fizikal CD yang dijadualkan pelancarannya pada bulan Disember 2025. Monosterio turut melancarkan laman web rasmi mereka di www.monosterio.com, di mana para peminat boleh mendapatkan album ini serta pelbagai barangan eksklusif secara atas talian. Album ini juga boleh didengari di semua platform penstriman muzik digital utama.
Menariknya, pelancaran album ini turut dilakukan secara serentak di Indonesia, dengan putaran serentak di 50 buah stesen radio di seluruh Indonesia. Peminat di Indonesia juga boleh mengakses laman web rasmi Monosterio untuk pembelian album dan barangan eksklusif.
Album ini telah menerima sokongan penuh daripada MyCreative Ventures, Monosterio merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, serta kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, khususnya YB Dato Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Multimedia, atas sokongan terhadap penghasilan karya tempatan.
Sorotan Perjalanan Monosterio:
Sebelum ini, Monosterio pernah menghasilkan empat buah album di bawah nama asal kumpulan mereka,
- RiverMonk dan OTwo:
- RiverMonk – Dewi ( 2001 )
- RiverMonk – Jingga ( 2002 )
- OTwo – Radio Tanah Melayu ( 2005 )
- OTwo – Evolusi ( 2010 )
Menariknya, walaupun melalui perubahan nama, Monosterio masih mengekalkan barisan ahli asal Kumpulan sehingga hari ini iaitu Izan Vokal , Anep Pemain Drum dan Alan Pemain gitar utama.
Antara pencapaian terdahulu mereka termasuk finalis Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) dalam kategori Album Hard Rock Terbaik. Memenangi beberapa anugerah di peringkat Asia menerusi VIMA Awards (Voice Independent Music Awards) seperti Best Rock Song dan Best Mind-Blowing Music Video.
Karya mereka turut dijadikan OST utama bagi pelbagai filem dan drama tempatan seperti XX Ray 2, Banglo Seksyen 12, Telemovie Jadi Raya Tak Jadi, Telemovie Kembar Sado, Telemovie Suci Dalam Neraka, Drama Tv Along, Drama Tv Jeriji Kasih, dan banyak lagi.
Proses pembikinan album ini mengambil masa 5 bulan dari peringkat awal rakaman hingga ke adunan akhir, manakala keseluruhan projek termasuk penggambaran muzik video memakan masa 12 bulan.
Dua buah muzik video terbaharu diarahkan oleh En. Pit Hassan (Pitto) dari Sosial Project Empire, dan penggambaran dijalankan sepenuhnya di lokasi sekitar Alor Setar, Kedah.
Dengan ini, secara rasmi, album “TARI WARNA” oleh Monosterio telah berada di pasaran. Semua peminat kini boleh mendapatkan album, menonton muzik video serta membeli barangan eksklusif Monosterio melalui laman web rasmi www.monosterio.com.
Monosterio merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan album ini – rakan-rakan artis, media cetak dan elektronik, serta semua peminat setia (Para Para Bunyian) yang sentiasa memberikan sokongan selama 20 tahun ini.
Dengan pelancaran Album “TARI WARNA”, Monosterio berharap ia akan menjadi simbol bahawa Industri Muzik Malaysia masih relevan dan terus berkembang, serta membuka ruang lebih luas untuk pembangunan muzik tanah air agar mampu berdiri setanding dengan negara-negara Asia lain

