Dah steady lah juri-juri kita, makin lama makin tepat tekaan mereka! Minggu keenam program pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri The Masked Singer Malaysia (TMSM) musim kedua menyaksikan enam orang juri termasuk Aznil Hj. Nawawi, Ella, Angah, Ramona Zamzam, Remy Ishak dan Zizan Razak berjaya meneka Zul Huzaimy disebalik figura Mat Penyu yang tersingkir. Walaupun beliau cuba mengelirukan pihak juri dengan sikap nakal dan perut buncit, Zul Huzaimy tetap kantoi.
Dengan markah terendah sebanyak 76.33%, Zul Huzaimy terpaksa meninggalkan pentas TMSM musim kedua selepas menyanyikan lagu Karam nyanyian asal Zabarjad. Katanya, beliau gembira kerana diberi peluang untuk memasuki The Masked Singer Malaysia 2.
Di kalangan para juri pula, Zizan Razak tetap menduduki di tangga teratas dengan meraih 4 markah pada minggu ini, lantas melayakkan beliau untuk memenangi Anugerah “Tekaan Juri Paling Gempak” diikuti Remy Ishak dan Aznil Hj. Nawawi. Lebih menarik, Angah akhirnya berjaya mengumpul satu markah setelah lima minggu meneka dengan salah. Nasib baik!
Minggu keenam menyaksikan Rambutan, Burung Hantu dan Seladang berada di tangga teratas dengan masing-masing mencatatkan markah sebanyak 95.22%, 94.78% dan 92.33% manakala Bujang Senang, Ratu Semut dan Mat Penyu di kedudukan ‘bottom three’ dengan markah 80.22%, 78.22% dan 76.33%. Dengan ini, hanya lapan selebriti di sebalik topeng Rambutan, Burung Hantu, Seladang, Periuk Kera, Si Merak, Orkid, Bujang Senang dan Ratu Semut akan mara ke minggu seterusnya.
Rasa-rasa siapa pula yang akan kantoi minggu hadapan? Saksikan program mengujakan ini di Astro Warna (Saluran 127) dan Warna HD (Saluran 107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam.
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand dan di aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.