Seingat penulis, konsert terakhir Ning Baizura secara solo adalah sekitar tahun 2011 yang bertempat di KL Live Centre. Kenapa penulis ingat ?? sebab ketika itu penulis berusaha untuk mendapatkan peluang mengambil foto konsert tersebut tetapi gagal. Dan buat kali keduanya, penulis mendapat jemputan secara rasmi dari pihak pengurusan Konsert Ning Baizura – ‘Konsert Pelangi Untukmu’. Walaupun berlaku sedikit kelewatan akibat beberapa penyelarasan teknikal konsert, rata-rata peminat setia Ning Baizura sekitar 1500 orang yang memenuhi setiap ruang legar dewan TM Convention Centre sabar menunggu.
Dalam masa lebih kurang 2 jam setengah, Ning Baizura berkongsi cerita dan pengalaman pahit manis yang dilaluinya selama 20 tahun bergelar anak seni dan beliau menyanyikan keseluruhan 25 buah lagu di samping tiga lagu baru iaitu Pelangi Untukmu, Embunan Bersinar dan Bukan Wanita Sempurna.
Ning juga berkongsi cerita di zaman permulaan beliau menceburi dunia muzik, apabila menceritakan tentang bayaran nyanyian beliau sebanyak RM50 pada ketika dulu kala. “Saya masih ingat lagi, show RM50 pun saya ambil. Saya tak pernah putus asa dan anda (para peminat) adalah antara penguat semangat saya. Dan kalau tak kerana ibu saya, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini hari ini”, kata Ning sambil menahan sebak namun tetap mengukirkan senyuman manis. Kontroversi juga menjadi pelengkap kisah perjalanan karier beliau , Ning dengan nada bergurau bercerita secara berseloroh tentang kisah tersebut yang sikit sebanyak menjadikan beliau seorang penyanyi yang gigih.
Ning yang tidak lokek berkongsi cerita mengenai detik-detik beliau bergelar ibu sempat bergurau senda dengan suami dan anak beliau di atas pentas dikala suaminya Omar Shariff Chritopher yang mendukung permata hati mereka, Ryan Sky Dalton dan membawanya ke atas pentas. Di segmen tersebut itu juga, Ning menyanyikan lagu ‘Pelangi Untukmu’ yang menggambarkan kegembiraan rasa hati beliau mengenai kehadiran cahaya mata beliau.
Ning turut mengundang rakan duetnya Russell Curtis ketika mereka memperdengarkan lagu Antara Kita namun peminat sedikit kecewa (termasuk penulis sendiri) apabila lagu yang asalnya adalah lagu duet bersama Jay Jay, ‘Erti Pertemuan’ dinyanyikan Ning secara bersendirian tanpa kehadiran penyanyi kumpulan CareFree tersebut (penulis dapat rasakan jika Jay Jay hadir , nyanyian tersebut akan lebih memukau). Lagu yang dinantikan ramai iaitu Awan Yang Terpilu menjadi sebahagian daripada lagu penutup yang didendangkan Ning sebelum single baru Bukan Wanita Sempurna yang secara eksklusif diperdengarkan kepada semua hadirin sebelum konsert Pelangi Untukmu melabuhkan tirainya. Konsert yang diketuai oleh Aylwin Santiago sebagai pengarah muzik bersama dengan 8 orang pemuzik professional berakhir pada jam 11.30 malam.
SENARAI LAGU YANG DISAMPAIKAN
OPENING
1- ASMARA
2- KAU DAN AKU
3- KEMBALI
4- TEGUH
5- SELAGI ADA
6- MAMA PAPA
7- BUKAN SEBARANGAN
MIDDLE
1- EMBUN BERSINAR
2- A MOTHER’S PRAYER
3- IBU
4- PELANGI UNTUKMU
5- DIMANA KAN KU CARI GANTI
6- UMMI
7- AYAH DAN IBU
8- ERTI PERTEMUAN
GREATEST HITS
1- CURIGA
2-PASTI
3- KESAYUP BINTANG
4- BILA
5- PENJARA KASIH
6- DUGAANKU
7- IN ANOTHER LIFE
8- ANTARA KITA (RUSSEL CURTIS)
9- AWAN YANG TERPILU
10- BUKAN WANITA SEMPURNA