KUALA LUMPUR: Odeon KL, salah satu panggung wayang tertua dan paling ikonik di Malaysia sejak 1936, kini melalui fasa transformasi besar untuk kembali bernafas sebagai pusat seni persembahan berskala profesional di tengah-tengah ibu kota. Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, Odeon KL kini dalam proses penaiktarafan menyeluruh dan diuruskan sepenuhnya oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, diterajui Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin.
Dengan lokasi strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya 300 meter dari Stesen LRT Bandaraya dan 500 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, Odeon KL berada dalam lingkungan akses paling mudah di pusat bandar.
Ia turut dikelilingi beberapa pusat membeli-belah utama seperti Kompleks Pertama, Kompleks Sogo dan Kompleks Campbell, menjadikannya destinasi ideal untuk pengunjung tempatan, pelancong serta peminat seni.
Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd membawa visi segar untuk menjenamakan Odeon KL sebagai hab acara merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, seni persembahan dan platform kebudayaan.
Melalui perancangan pembangunan 10 tahun, Rockstation memperuntukkan RM6 juta bagi memulihara, menaik taraf dan melengkapkan Odeon KL dengan kemudahan moden tanpa menjejaskan nilai sejarah bangunan warisan ini.
Pembangunan semula tersebut merangkumi:
- Sistem bunyi, akustik dan teknikal bertaraf profesional
- Ruang bilik persalinan artis yang lebih selesa
- Ruang logistik untuk produksi acara
- Kemudahan parkir kenderaan
- Laman Odeon sebagai ruang aktiviti niaga dan komuniti
- Kemudahan surau untuk pengunjung
Projek penaiktarafan ini sedang berjalan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026. Selain mengangkat martabat seni persembahan tempatan, Odeon KL bakal menjadi pemangkin peluang perniagaan baharu kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat.
Selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Rockstation kini sedang menilai dan merangka penganjuran pelbagai acara seni, budaya, muzik serta festival bagi menjadikan Odeon KL sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur.
Dengan sejarah panjang sejak hampir satu abad lalu, digabungkan dengan kedudukan strategik dan pembangunan moden yang dirancang teliti, Odeon KL bakal kembali sebagai pusat seni persembahan yang berprestij serta relevan untuk generasi baharu. Transformasi ini bukan sekadar menghidupkan semula bangunan lama, tetapi menjadi langkah penting dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota seni, muzik dan kebudayaan yang lebih hidup, progresif dan inklusif.
BARBARIK BUKA TIRAI ODEON KL
Kumpulan rock tanah air, Barbarik, yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di pentas Odeon KL yang telah dinaik taraf. Konsert istimewa bertajuk Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL, dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025, dianjurkan oleh Odeon KL dan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd.
Pemilihan Barbarik bukan sahaja berpaksikan reputasi mereka dalam dunia muzik ‘keras’, tetapi juga kemampuan muzik mereka sebagai ‘ujian sebenar’ terhadap sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat pada Jun lalu serta sokongan luar biasa komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan lagi keputusan tersebut.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, Mozylir Mokhtaruddin selaku penganjur berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan band popular itu di masa akan datang.
“Pihak penganjur tertarik untuk menjemput Barbarik sebagai artis pertama tampil membuat persembahan di Odeon KL selepas melihat aksi hebat mereka ketika membuat persembahan di Zepp KL.
“Selepas melihat sambutan peminat sehingga kesemua tiket habis terjual, kami berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Sambutan terhadap konsert pembukaan ini amat menggalakkan apabila semua tiket habis dijual, dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 orang peminat pada malam bersejarah itu.

