KUALA LUMPUR, 2 April 2021 – Pasangan selebriti popular negara yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan baru-baru ini, Syamel dan Ernie Zakri, muncul dengan single terbaharu yang romantis berjudul ‘Goodbye Hello’ terbitan Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Faithful Music.
Hanya seminggu sahaja berlalu, pengantin baru, Syamel berkata, “Alhamdulillah dan syukur, saya dan Ernie, telah selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri akhirnya, terima kasih buat semua yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan kami dari mula sehingga hari pernikahan.”
“Goodbye Hello adalah hadiah terbaru daripada kami berdua buat peminat setelah mendirikan rumah tangga, ia mengenai pasangan kekasih yang tidak akan berpisah selama-lamanya, perkataan Goodbye yang sering kita ucapkan ketika hendak berlalu, kemudiannya dibalas dengan Hello, menggambarkan kemanisan sebuah perhubungan yang tidak akan terlerai kerana ikatan janji yang telah termeterai.
Menurut Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL 35), Ernie berkongsi, “Idea merakamkan single Goodbye Hello datangnya daripada Faizal Tahir dan Mike Chan, kedua-dua nama besar ini menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi dengan kami, dan menurut mereka ia hanya boleh direalisasikan oleh kami berdua.”
“Setelah mendengar demo yang diberikan, kami terus terpaut dengan melodi pop moden yang santai dan romantis yang dicipta, selain itu kami juga diberi ruang untuk menulis lirik bersama bagi melengkapkan lagu tersebut.
“Ia amat berlainan dengan lagu-lagu duet kami terdahulu seperti Aku Cinta dan Takkan Terlerai dari segi genre, lirik dan mood yang memerlukan penghayatan lebih berat, manakala dengan Goodbye Hello pula ia membangkitkan perasaan indah dan ceria buat pasangan kekasih atau suami isteri.
Proses pembikinan single Goodbye Hello yang memakan masa selama 2 hari untuk disiapkan telah berlangsung ketika negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menurut Syamel, “Pada hari pertama, kami berempat berbincang dalam sesi brainstorming mengenai pembahagian rangkap, kemudian hari kedua pula proses rakaman dilakukan, di mana ia memakan masa selama beberapa jam saja, dan banyak yang kami pelajari daripada kedua-dua komposer ternama sepanjang tempoh tersebut.”
Ernie menambah, “Fakta menarik yang ingin saya kongsikan di sini adalah proses penghasilan single tersebut berlangsung 3 hari sebelum kami bernikah, jadi bayangkanlah betapa bergegasnya kami mengejar masa, akan tetapi semuanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.”
“Selain itu, rezeki turut menyebelahi kami apabila Syamel dan saya dipelawa untuk membintangi drama komedi bersiri 13 episod bertajuk ‘Kalau Dah Berbini’ yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan ini di saluran Astro Warna.
Ketua Label Rocketfuel Entertainment, En. Feros Sayna berkata, “Tahniah buat kedua-dua artis naungan Rocketfuel Entertainment di atas perkahwinan mereka.”
“Syamel dan Ernie merupakan pasangan duet yang serasi sejak dari dulu lagi dan dengan penyatuan ini semoga mereka terus berkarya bersama dan menghasilkan lebih banyak hit pada masa akan datang, semoga semua terhibur dengan single Goodbye Hello daripada mereka.
Ujar Syamel, “Kami berharap agar peminat dapat menerima single Goodbye Hello dengan baik kerana ia bukanlah lagu power ballad yang pernah kami bawakan sebelum ini, semoga semua berasa gembira dan terawang-awang mendengarnya.”
Lagu ‘Goodbye Hello’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.