Bekas alumni Diploma Muzik di Aswara serta jurulatih renang separuh masa ini tidak berputus asa untuk menceburi serta mengorak langkah dalam bidang seni suara tanahair. Berbekalkan keunikan tersendiri dari segi fesyen dan suara yang lain daripada yang lain, pendatang baharu anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Pearl Abdul mempunyai pakej yang berlainan, memulakan langkah perdananya sebagai pendatang baharu industri muzik tempatan dan berada di bawah naungan syarikat rakaman unggul, Armani Entertainment Group (AEG). Pearl hadir dengan single pertamanya berjudul ‘IGNORE’ hasil ciptaan komposer yang sedang meningkat naik, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Jova Devito, manakala terbitan oleh AEG sepenuhnya.
“Syukur Alhamdulillah kerana bermula dari angan-angan untuk menjadi seorang penyanyi, kini peluang untuk menghasilkan single ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka, sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat seperti Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Jova Devito.
“Terima kasih kepada pihak AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka dan terutamanya kepada Dato’ KK Chua yang nampak dan juga percaya dengan bakat yang saya miliki,” kongsi Pearl Abdul yang kini merupakan seorang jurulatih renang separuh masa.
Pelantun suara untuk single IGNORE ini yang dulunya meminati program realiti Akademi Fantasia dan pernah menghadiri ujibakat namun tidak diterima masuk, berazam untuk merealisasikan impian arwah mama dengan membuat persembahan di pentas besar serta terus berusaha mengorak langkah dengan mendalami ilmu muzik sepenuh masa di ASWARA.
“So start from there, Pearl tanam niat if I really wanna do this, or to be in this music industry, at least I kena tahu basic education in music. Maka, Pearl menjadi seorang Pelajar Aswara. Di Aswara, bermulanya Pearl menceburi bidang nyanyian, tarian dan sedikit lakonan. Pearl belajar banyak perkara dari belakang tabir sehinggalah dihadapan panggung. Ketika masih belajar di Aswara, Pearl pernah memasuki reality show “I Can See Your Voice” Musim ke-3 episod 3 bersama Ismail Izzani.
Bermula dengan hanya menemani kawan ke ujibakat nyanyian, namun Pearl dipaksa oleh mereka untuk masuk dan cuba nasib. Alhamdulillah ternyata rezeki ada disitu. Walaupun jalannya tak seindah yang dibayangkan, banyak usaha yang Pearl cuba lakukan untuk sampai ke tahap ini. Akhirnya rezeki itu tertulis dengan Armani Entertainment Group” jelas Pearl.
Ibarat bulan jatuh ke riba, pihak AEG merasakan sudah masanya bakat Pearl diperkenalkan kepada khalayak ramai kerana bakat yang dimilikinya tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja.
Menurut Dato’ KK Chua, Pengasas & Ketua Pegawai AEG, “Di AEG, kami percaya bakat anak muda tempatan wajar diberikan peluang dan diketengahkan agar ramai penggemar muzik dapat menikmatinya, saya yakin dengan keunikan Pearl Abdul yang mampu pergi jauh jika berada di landasan yang betul, lagi pula memang matlamat AEG untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu.
Lagu IGNORE merupakan sebuah karya elektronik moden dengan sedikit elemen pop yang menceritakan tentang nasihat dalam kehidupan, tidak mengendahkan nasihat yang baik-baik dari orang sekeliling. Dalam perhubungan sepasang kekasih pula, lagu ini lebih mengetengahkan masalah pasangan kekasih yang “ignore” atau terus senyap dan terus menghilang. Mereka rasa hebat lepas berbuat demikian. Ada juga elemen jahat atau pembalasan dalam lagu jika diabaikan oleh pasangan kekasih.
“Proses rakaman ini memakan masa selama 3 jam, tetapi panduan lagu sudah diberikan 2 minggu lebih awal oleh komposer kerana saya perlu mendalami rasa serta vokal yang dikehendaki agar meresap ke dalam jiwa apabila dinyanyikan.”
“Manakala untuk MV (video muzik) IGNORE, kita akan keluarkan lirik video terlebih dahulu yang berkonsepkan ala-ala digital dan bermain dengan warna mengikut kesesuaian rentak lagu yang “catchy”. Idea untuk video muzik pula berkisar tentang seorang perempuan yang cuba untuk mendapat perhatian si lelaki tetapi terus di “IGNORE”. Sewaktu “beat drop” di mana perempuan itu seperti menghantui pasangannya sehingga dia tidak lagi mampu untuk “IGNORE”. Untuk mengetahui lebih lanjut wajib menontonnya di YouTube nanti.
“Pearl berharap peminat dan pendengar dapat menerima kelainan dan keunikan Pearl Abdul sebagai penyanyi baru dalam era ini. Semoga IGNORE juga dapat dijadikan mesej kepada semua untuk berfikir lebih luas dalam perhubungan ataupun perkara berkaitan yang tidak patut di IGNORE.,” tambah Pearl.
Lagu IGNORE boleh dimuat turun di iTunes Store, boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala video lirik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.