(HIBURAN) Pelancaran Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33)

Spread the love

Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) merupakan sebuah inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam industri filem tanah air. FFM33 bukan sahaja berfungsi sebagai platform festival filem nasional yang berprestij, tetapi juga bertujuan mengukuhkan jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri. Program-program yang dilaksanakan melalui FFM33 diharap dapat mengangkat profesionalisme penggiat industri filem tempatan dan menyumbang kepada usaha pembudayaan sinema dalam masyarakat melalui karya-karya berkualiti. Ini sekaligus mewujudkan sistem sokongan yang mantap untuk memperkasakan industri filem Malaysia.

Penganjuran FFM33 adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Malam Anugerah FFM33 dijadualkan berlangsung pada 7 Disember 2024, bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri. Acara ini akan bermula dengan Karpet Merah pada jam 8.00 malam, diikuti dengan siaran langsung majlis anugerah dari jam 9.00 malam hingga 12.00 malam. Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menjadi penyiar rasmi bagi acara ini.

Tema yang dipilih untuk FFM33 kali ini ialah “Evolusi Sinema Malaysia (EMAS)”, yang bertujuan untuk menyorot perkembangan dan pencapaian sinema tempatan dari dahulu hingga kini. Penyertaan untuk pelbagai kategori anugerah telah dibuka mulai 20 Ogos 2024 dan akan ditutup pada 6 September 2024. Para penggiat industri boleh mendapatkan borang penyertaan di laman sesawang FINAS di https://www.finas.gov.my/ atau https://fim.finas.my.

FFM33 akan mempertandingkan sebanyak 30 kategori anugerah, termasuklah:

  1. Filem Terbaik
  2. Pengarah Terbaik
  3. Pelakon Lelaki Terbaik
  4. Pelakon Wanita Terbaik
  5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
  6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
  7. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
  8. Pengarah Harapan
  9. Pelakon Lelaki Harapan
  10. Pelakon Wanita Harapan
  11. Cerita Asal Terbaik
  12. Lakon Layar Terbaik
  13. Sinematografi Terbaik
  14. Penyunting Terbaik
  15. Penataan Bunyi Terbaik
  16. Penataan Seni Terbaik
  17. Kesan Khas Visual Terbaik
  18. Skor Muzik Terbaik
  19. Lagu Tema Terbaik
  20. Tatarias/Solekan Terbaik
  21. Rekaan Kostum/Busana Terbaik
  22. Poster Terbaik
  23. Filem Pendek Terbaik
  24. Dokumentari Terbaik
  25. Anugerah Khas Karyawan
  26. Anugerah Khas Sepanjang Zaman
  27. Anugerah Khas Juri 1
  28. Anugerah Khas Juri 2
  29. Anugerah Khas Juri 3
  30. Anugerah Khas Filem Box Office

Dengan senarai kategori yang pelbagai ini, FFM33 dijangka akan menjadi satu lagi platform penting untuk mengangkat nama dan karya penggiat filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, sekaligus memperkukuh kedudukan industri filem Malaysia di arena antarabangsa.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *