(HIBURAN) Pentas Barbarik Vol 2 ‘Rempuh’ Mega Star Arena 31 Januari 2026

Spread the love

Kekecohan pada konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL yang berlaku pada 12 Disember 2025 membawa banyak pelajaran dan hikmah. Insiden itu malah menjadi indikasi bahawa Barbarik bukan sekadar kugiran yang lahir dalam kalangan ‘pemuzik biasa-biasa’ tetapi karisma, identiti, pengaruh dan perjuangan mereka diekori rapat oleh peminat tegar masing-masing.

Justeru, setelah menzahirkan simpati terhadap  ratusan peminat yang tidak dapat menyaksikan konsert tersebut kerana ruang penuh, Barbarik tidak duduk diam. Selaku pemuzik profesional, Barbarik mahu ‘membayar semula’ kekhilafan yang berlaku dengan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2. Tidak memerlukan masa yang lama, Republic Mokhmah Records (RMR) dan Pentas Barbarik  Sdn Bhd dengan bangga mengumumkan penganjuran Pentas Barbarik  Vol 2 di lokasi yang lebih besar dalam skala persembahan yang juga cukup megah.

Pentas Barbarik Vol 2 akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2026 bermula pukul 8 malam.

“Penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan bermaksud kami mahu menutup kekecohan dan kekhilafan yang berlaku pada Barbarik Vol 1 sebaliknya ia memang telah lama dalam agenda kami.

“Namun oleh kerana insiden yang berlaku, Barbarik mahu mengambil tanggung jawab penuh dalam menjaga reputasi di antara kami dengan peminat yang menyokong kami dengan cukup luar biasa.

“Pentas Barbarik Vol 2 di Mega Star Arena pada 31 Januari 2026 juga adalah usaha dan tanda kesungguhan kami dalam memenuhi dan memberi persembahan berskala besar yang lebih baik, berkualiti  serta mahu menjamin tidak berlakunya lagi penjualan tiket berlebihan sehingga ia boleh menjejaskan hubungan Barbarik dan semua peminat kami,” ujar JoBranko mewakili Barbarik.

Selaku penganjur, RMR juga mengatakan penganjuran Barbarik Vol 2 bukan dilaksanakan untuk mengambil kesempatan apa lagi tidak belajar daripada kekecohan yang berlaku.

Sebaliknya penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 di Mega Star Arena pada 31 Januari 2026 adalah medan ‘pertempuran’ yang signifikan selepas beberapa siri penganjuran sebelum ini.

“RMR menyifatkan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 sebagai signifikan dengan ‘kekuatan’ mereka dan Mega Star Arena adalah lokasi terbaik buat perayaan tahun baharu dimulakan.

“Kami di RMR juga akan sedaya upaya mengelak terlibat dengan penjualan tiket tidak sah, berlebihan dan apa sahaja perkara yang boleh menjejaskan reputasi bukan hanya Barbarik tetapi penganjur di Malaysia,” kata Encik Abdul Musa Haji Mokhtar dari Republic Mokhmah Records.

Karl Hangatkan Pentas Barbarik Vol 2

Sebagai bukti Pentas Barbarik Vol 2 bukan hanya penganjuran sambil lewa, kugiran ini terus ‘membedil’ konsert dengan penyertaan pemuzik legenda tanah air yang pastinya membuat peminat tidak akan melepaskan peluang bersejarah ini.

Pentas Barbarik Vol 2 akan menampilkan Karl untuk menghangatkan ‘pertempuran’  di atas pentas Mega Star Arena.

“Kenapa Karl? Kenapa tidak? Selain kewibawaan dan legendanya seorang Karl, beliau juga muncul menjadi featuring dalam album sulung kami, Peluru Cokelat melalui lagu Golok Kayu.

“Jadi apa salah Barbarik membawa Karl dan kita semua dapat mendengar serta melihat persembahan secara langsung daripada beliau yang sentiasa penuh magis,” ujar JoBranko lagi.

Gandingan pemuzik baru dan berpengalaman dalam kumpulan Barbarik yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada khalayak ramai, Ainoll, Rozaimi Muss, Jobranko serta Lee sudah mencipta kekuatan tersendiri.

Karl Cromok kini masuk dalam barisan penampilan istimewa artis yang akan membuat kemunculan di pentas selain daripada Eddie, Black, Mel dan Jojet yang dikekalkan dari persembahan yang terdahulu.

Konsert yang direncana berlangsung selama 2 jam 30 minit itu akan melihat 30 peratus kelainan daripada Barbarik Vol 1.

“Dengan perancangan yang sudah cukup lama dan persediaan mantap, Pentas Barbarik Vol 2 akan menyaksikan 30 peratus repertoir berbeza termasuk pemilihan lagu daripada apa yang telah dipersembahkan dalam konsert atau penganjuran pentas sebelumnya.

“Hal yang demikian kerana kami mahu memberi yang terbaik buat peminat supaya mereka tidak datang ke sebuah persembahan secara langsung dan mendengar pengulangan seperti dalam kaset, permainan cakera padat atau platform penstriman.

“Kami mahu setiap persembahan Barbarik memberi pengalaman berbeza walaupun pahit atau manis, yang pastinya ada cerita untuk dibawa pulang sebaik keluar menyaksikan kami,” kata JoBranko lagi.

Sehubungan itu, penjualan tiket dengan beberapa kategori boleh dibeli bermula 18 Disember pukul 12 tengahari di platform tiket www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2 

Kategori tiket bermula dari RM138 (General Admission), RM168 (Rockzone-standing), RM268 (Normal- seating) dan RM368 (VIP- seating) serta RM1,500 untuk Grand VIP- Couple Seat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *