Meskipun bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tarikh yang sama, Konsert Search Fantasia Bulan Salju tetap mendapat sambutan apatah lagi lokasi penganjurannya di Genting Highlands, Pahang yang dilihat cukup ‘canggung’ buat peminat.
Konsert anjuran MIC Entertainment Group itu telah di adakan di Arena All Star, Genting Highlands pada 12 Ogos lalu berjaya menarik 4000 peminat setia kumpulan yang cukup popular dengan lagulagu slow rock seperti Isabella, Rozana, Gadisku dan sebagainya.
Ianya sekaligus membuktikan kewibawaan jenama ‘Search’ yang ditunjangi oleh Amy (vokal), Hillary Ang (gitar), Nasir (bass) dan Man Keedal (gitar) masih kuat malah kekal relevan sehingga hari ini.
Konsert Search Fantasia Bulan Salju yang bermula tepat jam 8.45 malam itu terlebih dahulu disajikan dengan ‘opening’ muzik padang pasir yang menggambarkan ‘pengembaraan’ Search bersama peminat.
‘Bencana’ menjadi penanda aras untuk menyatukan jiwa peminat agar terus ‘di paku’ hingga ke lagu terakhir. Set pertama juga seakan menguji keupayaan Arthur Kam yang berada di posisi dram menggalas tugas yang di amanahkan.
Tanpa banyak bicara Search terus memukau khalayak dengan lagu Derap Komando dan Langit dan Bumi. Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih mesra dengan Amy tampil dengan suit merah yang tampak cukup bergaya, ‘versatile’ malah lebih bertenaga.
Menawan Rasa dan Gelora Cinta kemudiannya di persembahkan sekaligus membuka hadirin belajar dalam dunia ciptaan Search.
Ruang konsert kemudiannya bergema dengan lagu Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu di mana peminat bernyanyi bersamanya. Inilah ‘istimewa’nya Search yang cukup bijak bermain dengan situasi dan perasaan. Lebih menarik apabila ‘salju’ mula bergentayangan menyelimuti khalayak.
Seleksi lagu-lagu ‘slow rock’ dipersembahkan antaranya ialah Rozana, Laila Nama Mu Teratas dan Nigina. Sekali lagi gemaan vokal hadirin bersatu dengan vokal Amy. Peminat yang hadir rata-ratanya sudah cukup bersedia dengan seleksi lagu-lagu Search yang sentiasa meniti di bibir.
Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku dan Kejora pula dipersembahkan secara medley. Tidak perlu lagu yang berentak keras untuk terus ‘memaku’ penonton. Inilah pengembaraan baru yang diterjemahkan Search menerusi konsert Fantasia Bulan Salju.
Isabella antara lagu ‘wajib’ yang harus dipersembahkan kerana lagu ini juga menjadi antara judul filem yang turut membariskan Search dan Amy khasnya sebagai teraju utama filem tersebut.
Set yang cukup ‘keras’ memberi ‘kejutan’ buat Naimi Daini, namun gadis yang berusia 17 tahun ini cukup konsisten dengan ‘dram’ yang menjadi ‘nyawa’nya. Kemunculan Naimi pastinya menjadi tumpuan peminat Search meskipun ini adalah konsert berskala besar kedua buatnya selepas Nusafest.
Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi kibord komited dengan instrument masing-masing.
Inilah Search yang sudah dimiliki ‘hatinya’ oleh peminat yang rata-rata sudah berusia 40an, 50an dan 60an. Tidak perlu aksi ‘luar biasa’ namun mereka punya kredibiliti, energi yang cukup pesona seperti mana Rolling Stones, Pink Floyd dan sebagainya mereka punya aura tersendiri.
Usai ‘pertempuran’, Cakap Memang Murah, Fenomena, Paranoid, Isi Atau Kulit dan Pelesit Kota antara lagu yang menghiasi ‘encore’ konsert Search Fantasia Bulan Salju.
Tirai konsert dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena sekaligus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara konsert berperstij selain melakar monumen agung Search apabila menjadi kumpulan pertama yang mengadakan konsert di puncak Genting Highlands.
Sistem bunyi yang cukup ‘mesra’ telinga itu disemarakkan dengan penataan lampu yang cukup indah pandangan mata melenyapkan rasa lamanya konsert yang berdurasi 180 minit itu apatah lagi dengan ‘hangat’nya lagu-lagu yang di persembahkan. Konsert Fantasia Bulan Salju adalah revolusi dan empayar Search.