Peminat muzik di Malaysia, khususnya generasi muda, bakal disajikan dengan pengalaman konsert yang lebih ‘happening’, inspiratif dan penuh emosi menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos 2025 (Sabtu) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dipersembahkan oleh Expoindo bersama penganjur konsert tempatan, Thrive, RIF membawa konsep segar yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen inspirasi dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis terbabit.
Festival ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya menjadi medan untuk menyemai semangat positif dan inspirasi melalui muzik.
Penganjur Expoindo berkata, RIF adalah pertunjukan muzik yang menampilkan pemuzik yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat di Kuala Lumpur.
“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi.
“Edisi kali ini, kami menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai artis utama. Kumpulan ini tidak asing bagi peminat muzik tempatan menerusi lagu-lagu hits mereka seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’, ‘Sialan’ dan banyak lagi.
“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” katanya.
Menurut penganjur lagi, RIF bakal memberikan pengalaman yang berbeza kepada penonton berbanding konsert konvensional lain.
Menurutnya, artis yang membuat persembahan akan turut berkongsi kisah peribadi dan perjalanan mereka dalam dunia muzik, menjadikan ia satu pengalaman yang lebih dekat dan bermakna buat semua yang hadir.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” katanya.
Menerusi festival ini, Expoindo turut merancang untuk meluaskan penganjuran RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia, sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti melalui muzik dan menjadikan festival ini sebagai platform serantau yang menghubungkan artis dari Indonesia dan Malaysia.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” kata Expoindo lagi.
Menariknya, RIF 2025 bakal dibuat sebanyak dua persembahan dalam satu hari, iaitu pada sebelah tengah hari dan malam. Artis seterusnya bakal akan diumumkan minggu hadapan, nantikan satu lagi pengumuman yang pasti mengujakan!
Harga tiket bagi persembahan tengah hari akan diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu, harga tiket bagi acara malam membabitkan persembahan Juicy Luicy berharga RM528 (Presale VVIP-Seated); RM328 (Presale VIP-Seated); RM158 (Presale Platinum-Standing); RM258 (Presale Gold-Seated); RM128 (Presale Silver-Seated) dan RM150 (Group Photo Top Up). Harga tiket ni adalah ‘Pre Sale’.
Ticket RIF 2025 Juicy Luicy akan mula dijual pada 3 Julai 2025 (Khamis), jam 12.00 tengahari menerusi aplikasi BBO Events atau laman web rasmi,
ri-fest.com/kualalumpur
Untuk berita dan maklumat terkini, sila “like” dan “follow” kami di Instagram dan TikTok rifest.my

