(HIBURAN) SEMANGAT LEBARAN HASIF UPIN & YUNADIA DALAM ‘NOSTALGIA RAYA’

Spread the love

Bagi memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini dan meraikan lebaran yang bakal tiba, pelantun lagu tular ‘Janji Sampai Mati, Hasif Upin dan pendatang baharu, Yunadia yang sedang popular dengan single ‘Cha Cha Cinta’, digabungkan dalam sebuah single Raya istimewa berjudul ‘Nostalgia Raya’, terbitan label pengurusan artis terbaharu paling hangat di Malaysia, Armani Entertainment Group (AEG).

Menurut Dato’ KK Chua selaku Ketua Pengerusi Eksekutif AEG: “Label kami amat berbesar hati untuk menerbitkan lagu Raya yang pertama dengan menampilkan gabungan mantap di antara Hasif Upin dan Yunadia. Ini juga merupakan langkah sulung AEG dalam menarik hati pendengar tempatan disamping memperkenalkan lagi AEG dan barisan artisnya.

Single Nostalgia Raya dalam nuansa pop rancak ciptaan bersama komposer Iqie Hugh dengan Jova Devito ini telah pun diperdengarkan buat pertama kalinya ketika majlis ‘Media Night & Majlis Berbuka Puasa’ anjuran AEG di Hotel Hilton, Kuala Lumpur dengan sambutan yang menggalakkan dan respon yang positif.

“Terima kasih kepada pihak AEG kerana memberi kepercayaan sekali lagi buat saya bersama-sama abang Hasif untuk menyanyikan lagu Nostalgia Raya ini.

“Keseronokkan yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata! Bukan mudah untuk pendatang baharu seperti saya mendapat peluang seperti ini,” ujar Yunadia dalam nada teruja.

Idea disebalik tercetusnya single ini bermula ketika komposernya iaitu Iqie mengimbau semula zaman kanak-kanak yang penuh dengan keriangan dan kenangan manis sewaktu Raya, jelasnya: “Kalau dahulu, ketika menjelang Hari Raya, semua akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu sanak-saudara, dan aktiviti yang paling menyeronokkan adalah ketika masing-masing berlumba untuk mengumpul duit raya.

“Lagu Nostalgia Raya membawa maksud momen keraian yang tidak akan hilang ditelan zaman, walau usia kita makin meningkat, perasaan teruja menjelang Syawal terus berulang saban tahun walaupun zaman silih berganti.

Proses rakaman yang berlangsung di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara tidak mengambil masa yang lama kerana kedua-dua penyanyi, Hasif dan Yunadia memahami kehendak komposer dalam memantapkan pembikinan lagu ini.

Bagi Hasif, Raya tahun ini pasti berbeza buat dirinya, “Ketika dunia dilanda musibah COVID-19, kita semua turut merasa kesannya, kini segala-segalanya semakin beransur pulih dan saya pasti ramai yang tidak sabar untuk pulang beraya bersama keluarga tercinta.

“Bagi saya, tahun ini saya akan beraya seorang diri setelah kehilangan ibu tercinta pada bulan Oktober yang lepas, namun kehidupan tetap diteruskan jua.

“Semoga semua akan terhibur dengan lagu Nostalgia Raya ini serta menjadi pengubat rindu mengimbau memori dahulu bersama yang tersayang.

Lagu ‘Nostalgia Raya’ boleh dimuat turun di iTunes mulai 15 April ini dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi utama negara serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single Raya ini pula boleh ditonton pada tarikh yang sama secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *