KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Bintang solo K-pop, B.I akan kembali ke Malaysia untuk bertemu para peminatnya yang lebih dikenali sebagai ID iaitu “Be identity” sempena jelajah konsert terbaharunya.
Dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment, 2025 B.I TOUR: The Last Parade Tour in KUALA LUMPUR akan berlangsung di Mega Star Arena, KL pada 21 September (Ahad), jam 7 malam.
Sama ada penguasaan pentas hebat atau persembahan gegar, peminat boleh menanti-nantikan sebuah pertunjukan penuh gah daripada B.I dalam The Last Parade Tour yang datang susulan pelancaran album studio ketiga berjudul “Wonderland”.
Album yang mengandungi 11 lagu itu turut meraih sambutan hangat peminat, maka para penonton konsert berpeluang menyaksikan lagu-lagu baharu dan terdahulu dendangan B.I, termasuk daripada album studio “Waterfall” dan “To Die For”, serta EP berjudul “Love or Loved Part.1” dan “Love or Loved Part.2”.
Sejak kemunculan semula sebagai artis solo pada tahun 2021 di bawah label 131 yang diasaskannya, B.I telah mengukir nama dalam era baharu muzik dengan pelbagai lagu hits, konsert jelajah dan penampilan di pesta muzik berskala besar seperti Lollapalooza dan Rolling Loud.
Antara kolaborasi lagu tersohor B.I termasuk bersama Heize pada “Ferris Wheel”, Woosung dari
The Rose untuk lagu “Happy Alone”, Destiny Rogers dan Tyla Yaweh dalam lagu “Got It Like That”, Bipolar Sunshine dan Afgan untuk lagu “Lost at Sea (Illa Illa 2)”, Jessi dalam “Die for Love”, serta Soulja Boy dan DeVita menerusi lagu “BTBT”.
Tiket hadir dengan pelbagai faedah peminat dan akan mula dijual menerusi www.ticketingtix.com pada hari Jumaat, 13 Jun, jam 12 tengah hari. Harga tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.
Kategori tiket dan faedah peminat untuk 2025 B.I TOUR: The Last Parade Tour in KUALA LUMPUR:
- PARADE (Berdiri): RM888
(Faedah Peminat: Sesi Selamat Tinggal, Sesi Soundcheck, Foto Berkumpulan bersama B.I
(20:1) dan Poster Rasmi untuk semua, Poster Bertandatangan untuk 50 peminat, Barangan Bertandatangan untuk 25 peminat.)
- MAGIC (Berdiri): RM788
(Faedah Peminat: Sesi Selamat Tinggal, Sesi Soundcheck dan Poster Rasmi untuk semua, Foto Berkumpulan bersama B.I (20:1) untuk 60 peminat, Poster Bertandatangan untuk 50 peminat, Barangan Bertandatangan untuk 25 peminat.)
- YOUTH (Duduk): RM558
(Faedah Peminat: Poster Rasmi untuk semua.)
- GROWN (Duduk): RM358
(Faedah Peminat: Poster Rasmi untuk semua.)
Untuk maklumat lanjut, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram
(www.instagram.com/lofi.entertainment) dan Facebook (www.facebook.com/lofi.entertainmentkl).

