(HIBURAN) Sesi Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)

Spread the love

DEX_5772

TV3 dan TV9 mempersembahkan festival drama yang pertama dan terbesar di Malaysia iaitu Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Bertujuan untuk memartabatkan industri drama tanah air dan menghubungkan para karyawan termasuklah pengarah, penulis skrip, komposer dan pelakon dari amatur hinggalah ke profesional. Selain itu, DFKL menjadi platform untuk mencari pelapis-pelapis baharu yang bakal memacu masa depan industri drama tanah air.

Lebih istimewa, acara yang julung kalinya diadakan ini dihargai oleh L’Oréal Paris sebagai Penaja Utama. Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung di Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 20 dan 21 Februari 2014 di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, termasuklah sesi pembentangan idea produksi TV khas L’Oréal Paris. Di samping itu, orang ramai yang membeli produk L’Oréal Paris pada 20 atau 21 Februari boleh mendapatkan ‘akses khas’ bagi sesi uji bakat lakonan (casting). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi www.dfkl.com.my. Selain itu, L’Oréal Paris juga akan menyerikan lagi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 22 Februari 2014 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan mempersembahkan anugerah Pelakon Wanita Pilihan.

Menurut Goh Sa Ki, Pengarah Pemasaran L’Oréal Paris, “L’Oréal Paris dengan bangganya mengumumkan sokongan kami untuk memupuk artis-artis baru, penerbit dan pengarah di dalam industri seni tanah air. L’Oréal Paris akan mengadakan peraduan bahawa L’Oréal Paris akan menerbitkan karya paling kreatif dalam sebuah produksi khas bersama Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad yang melibatkan 2 jenis produk iaitu ‘L’Oréal Paris Revitalift Dermalift’ dan ‘L’Oréal Paris Extraordinary Oil’. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai 2 jenis produk ini, sila layari laman sesawang rasmi www.dfkl.com.my atau www.facebook.com/lorealparismalaysia. Idea dan karya empat pemenang utama ini akan diterbit dan disiarkan di TV3 dan menerima hamper bernilai RM1,000 manakala enam pemenang saguhati akan membawa pulang hamper bernilai RM500.”

Bagi mengiktiraf drama-drama pilihan penonton sepanjang tahun 2013, TV3 dan TV9 menganjurkan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 22 Februari 2014 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Sebanyak 7 kategori dipertandingkan iaitu ‘Drama Pilihan’, ‘Pelakon Lelaki Pilihan’, ‘Pelakon Wanita Pilihan’, ‘Pengarah Pilihan’, ‘Penulis Skrip Pilihan’, ‘Barisan Pelakon Pilihan’ dan ‘Hero & Heroin Pilihan’ serta 1 anugerah khas, “Drama Pendek Terbaik” yang telah berlangsung di www.veedo.my sepanjang November 2013 hingga Februari 2014 . Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur bakal dihoskan oleh gandingan pengacara, Zulin Aziz dan Sherry Al-Hadad. Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur turut menampilkan persembahan dari Kumpulan Bocey, Dayang Nurfaizah, Drama Band, Aiman Hakim Ridza, Hyper Act, Jaclyn Victor dan Black Hanifah.

DEX_5796

TAYANGAN EKSKLUSIF KHAS BUAT PEMINAT ‘ARIANA ROSE & 7 SUAMI’

“Mulanya Benci Kemudian Berkahwin, Bagaimana Ariana & Tengku Adam Menerima Satu Sama Lain?”

Drama ‘Ariana Rose’ telah mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan penonton apabila setiap kali drama siri ini bersiaran, ia berjaya membolosi takhta trending di laman sosial media Twitter dengan kata kunci #ArianaRose di samping mencatat kadar keseluruhan tontonan sebanyak 2.7 juta penonton. Selepas 25 episod Ariana Rose ditayangkan di slot Akasia, malam ini drama arahan Raja Alauddin Shah hampir sampai ke kemuncaknya.

Jesteru, menyedari sambutan luar biasa yang telah dicetuskan sepanjang drama siri ini bersiaran, episod 26 dan 27 drama romantik ini diraikan dengan satu majlis tayangan pratonton drama Ariana Rose bertempat di Lower Ground, Oval Center Court, 1 Utama Shopping Centre, Selangor. Majlis ini diadakan khusus kepada tetamu jemputan yang terdiri daripada sebilangan para peminat serta barisan pelakon utama Ariana Rose seperti Keith Foo, Nur Fathia, Hisyam Hamid, Nabila Huda, Arja Lee dan ramai lagi. Istimewanya, peminat yang hadir di tayangan pratonton ini dapat menyaksikan secara eksklusif episod 26 & 27 yang ditayangkan lebih awal daripada waktu siarannya di samping memberi peluang kepada peminat beramah mesra bersama watak kesayangan mereka dalam Ariana Rose.

Di samping itu, TV3 turut mengadakan peraduan khusus yang dikenali sebagai ‘Kuiz Pratonton Ariana Rose’. Penonton harus menjawab soalan kuiz yang terdapat di laman sosial media Twitter TV3 dengan menggunakan kata kunci #ArianaRose pada 6 & 7 Februari 2014. Seramai 20 pemenang bertuah dipilih dan berpeluang untuk turut serta menyaksikan pratonton pada hari ini serta makan malam secara eksklusif bersama barisan pelakon drama Ariana Rose.

Drama 28 episod yang akan melabuhkan tirainya pada 13 Februari 2014 ini mengisahkan tentang Ariana Rose yang telah menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita dengan tujuan untuk menggagalkan perkahwinan itu. Pengakuan palsu Ariana itu ternyata telah memporak-perandakan majlis itu. Tengku Adam berang dengan keadaan yang berlaku kerana dia memang tidak mengenali Ariana. Jadi, Tengku Adam mengupah pengintip upahan untuk menyiasat siapakah wanita yang telah melakukan pembohongan di majlisnya.

Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Adam nekad untuk menculik Ariana dan membawa gadis itu ke Cameron Highlands. Kemudian, Tengku Adam meragut kesucian Ariana. Ariana menyesal dan akhirnya mengakui kebenarannya. Ariana mula membenci Tengku Adam dan sejak itu dia tidak pernah lagi bertemu lelaki yang telah memperkosanya.

Selepas 2 bulan kejadian itu berlaku, Ariana meneruskan kehidupannya dengan melakukan kerja-kerja amal. Tanpa disangka, Tengku Adam adalah penyumbang terbesar bagi dana kebajikan di mana tempat Ariana bekerja. Ketika majlis amal diadakan Ariana hadir bersama rakan sepejabatnya, Harith. Entah mengapa Tengku Adam cemburu melihat kemesraan mereka berdua.

Tengku Adam mula menyukai Ariana. Namun, perasaan benci Ariana pada Tengku Adam tidak pernah berubah. Cara Ariana melayan Tengku Adam juga ternyata berbeza jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada Harith yang jauh lebih mesra. Tengku Adam bertambah hilang pertimbangan apabila Ariana turut mesra dengan bekas sahabat baiknya, Ramzul.

Tengku Adam bermusuh dengan Ramzul kerana Tengku Adam tidak bertanggungjawab setelah mengandungkan adiknya, Liyana suatu ketika dahulu. Liyana juga kini kembali untuk mendapatkan cinta Tengku Adam semula. Liyana sanggup melakukan apa sahaja asalkan Tengku Adam hidup bersamanya. Tengku Adam pula rimas dengan kehadiran Liyana kerana baginya kewujudan Liyana membuatkan dia lebih jauh dari Ariana.

Sementara itu, Ariana pulang ke kampung untuk majlis pertunangannya. Ariana tidak tahu Tengku Adam adalah tunangnya. Ariana tidak mahu melihat gambar mahupun berjumpa tunangnya. Apabila tiba hari pernikahan, Ariana terkejut apabila mendapat tahu tunangnya selama ini adalah Tengku Adam. Tengku Adam pula gembira kerana akhirnya Ariana menjadi miliknya.

Selepas Ariana dan Tengku Adam selamat diijabkabulkan, pasangan ini diduga dengan kehadiran Tasya. Tasya berusaha untuk menggoda Tengku Adam. Malah Sophie dan Liyana juga masih tidak berputus asa untuk memisahkan Ariana dan Tengku Adam. Pasangan itu sering bergaduh. Apakah yang bakal berlaku selepas itu? Adakah kebahagian akan menjadi milik Ariana dan Tengku Adam? Segalanya akan terjawab dalam episod kemuncak Ariana Rose pada 13 Februari 2014 jam 7.00 malam hanya di slot Akasia TV3. Penonton yang terlepas menyaksikan Ariana Rose boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my juga layari Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

“Melayari tujuh percintaan..”

Jika TV3 menayangkan episod kemuncak Drama ‘Ariana Rose’ buat peminat drama siri, TV9 pula membawakan sebuah drama siri baru iaitu ‘7 Suami’. Pada sesi pratonton ini, pengunjung dapat menyaksikan episod 5 drama 7 Suami yang ditayangkan secara eksklusif satu hari awal daripada waktu siarannya.

7 suami berkisarkan kisah hidup Safiyah atau Yah (Izreen Azminda) gadis ayu, lemah lembut, penyayang, berbudi bahasa dan pandai mengambil hati yang diuji dengan tujuh percintaan yang terpaksa dilaluinya. Yah yang terpaksa atau sentiasa memerlukan cinta kasih dan sayang dari seorang insan yang bernama lelaki telah merelakan dirinya untuk berkahwin sebanyak tujuh kali, mengenali hati budi tujuh lelaki.

Di sebalik kisah hitam yang dipalitkan oleh kisah kedua orang tuanya, Yah yang tinggal dengan neneknya tabah menghadapi tohmahan orang kampung. Setelah dewasa, Yah menjalinkan hubungan cinta dengan Ihsan (Aiman Hakim), seorang pemuda kampung yang baik budi pekertinya namun hubungan mereka tidak direstui oleh kedua orang tua Ihsan. Yah terpaksa menggadaikan cintanya dan akur dengan kehendak neneknya untuk berkahwin dengan Hj Dollah, seorang lelaki kaya yang 30 tahun lebih tua daripadanya, hanya kerana ingin membalas budi Hj Dollah yang banyak membantu mereka.

Kebahagiaan yang dikecapi Yah hanya seketika apabila Herman, anak Hj Dollah enggan menerima Yah sebagai ibu tiri dan terang-terangan menolaknya. Kesabaran Yah teruji, rumahtangga mereka mula merantakkan apabila Hj Dollah mula hilang kepercayaan terhadap Yah.

Setiap jodoh yang Allah tetapkan untuk Yah ada suka dukanya. Sekuat mana iman Yah, Allah sentiasa menguji kesabarannya. Namun, berjayakan dia menghadapinya demi mencari  kebahagian?

7 Suami dilakonkan oleh pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2013 Izreen Azminda, Aiman Hakim Ridza, Kaza, Norlia Ghani, Esma Danial dan ramai lagi pelakon hebat yang menguatkan lagi jalan cerita drama 13 episod yang telah pun mula bersiaran pada 29 Januari, 8.30 malam setiap Selasa dan Rabu di slot Ratu.  Anda juga boleh layari www.tonton.com.my untuk siaran ulangannya.

Layari laman sesawang rasmi Drama Festival Kuala Lumpur di www.dfkl.com.my dan laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube TV3Malaysia / TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #DramaFestKL bagi untuk menghangatkan lagi bahang Drama Festival Kuala Lumpur yang bakal berlangsung 20 hingga 22 Februari 2014 nanti.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *