d’Masiv merupakan sebuah kumpulan muzik yang berasal dari Jakarta , Indonesia. Kumpulan yang dianggotai oleh 5 orang anak muda ini iaitu Rian Ekky Pradipta (vokal), Dwiki Aditya Marsall (gitaris), Nurul Damar Ramadan (gitaris), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass), dan Wahyu Piadji (drum). Kunjungan mereka ke Malaysia pada kali ini bagi memenuhi undangan konsert di ICT Shah Alam dan juga jemputan oleh penganjur konsert Urbanscape 2012. D’Masiv bakal melakukan persembahan 5 lagu dalam bentuk akustik di Konsert Urbanscape 2012 yang berlangsung di padang Astaka, Petaling Jaya jam 2 petang pada hari Ahad (25 November 2012) dan bakal mendendangkan 10-12 lagu pada undangan konsert di ICT jam 10 malam sebelah malam nya. Konsert yang bakal berlangsung di ICT Shah Alam tersebut adalah percuma. Bercakap kepada pihak media di majlis santai mesra bersama d’Masive yang berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur sebentar tadi, Rian Ekky berkata kehadiran mereka ke Kuala Lumpur terus dari Bali setelah mereka selesai mengadakan satu persembahan di sana . Bercakap mengenai projek terkini dan masa hadapan, Rian Ekky menjelaskan d’Masiv kini menjadi Duta ‘Anti Human Trafficking’ untuk MTV Asia , dan mereka telah selesai menjalani rakaman sebuah lagu untuk MTV Asia sebagai menyahut seruan untuk menentang jenayah pemerdagangan manusia ini. Pada tahun hadapan juga, Rian Ekky menjelaskan bahawa satu konsert bakal dilangsungkan sempena menyambut ulangtahun ke 10 penglibatan d’Masive di dalam industri hiburan Indonesia sejak tahun 2003.