Filem-filem yang mengangkat seni mempertahankan diri seperti silat sudah selalu dihasilkan lantaran ia diminati oleh penonton yang menggemari genre aksi.
Oleh yang demikian, syarikat produksi Katana Film turut tampil dengan dengan sebuah naskhah yang diberi judul Strike: Silat Cult Master.
Penerbitnya, Mallory Lee berkata, kelainan yang ditampilkan dalam filem berkenaan apabila ia menggabungkan aksi silat dengan kisah fiksyen moden.
“Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus daripada inspirasi permainan video arked pertempuran yang cukup popular sekitar era 90-an.
“Jalan ceritanya pula cukup ringkas dan saya lebih fokus kepada babak-babak aksi pertarungan kerana saya yakin ia mampu menarik minat penonton filem aksi,” ujarnya yang juga bertindak sebagai pengarah.
Strike: Silat Cult Master berkisar tentang dunia pertarungan bawah tanah (underground), di sebalik kisah seorang lelaki mencari pembunuh ibunya dan bergabung dengan beberapa individu lain untuk menentang sebuah kumpulan yang kejam.
Mallory berkata, dia memilih silat untuk diangkat dalam naskhah berkenaan kerana ia adalah salah satu cara untuk mempromosikan budaya Malaysia menerusi filem.
“Walaupun ada pelbagai seni mempertahankan diri, namun saya melihat silat ini lebih berunsur heroik dan kaya dengan sejarah yang tersendiri.
“Misalnya kalau filem Hong Kong, ia sudah sinonim dengan Kung Fu. Jadi, saya ambil pendekatan untuk memilih silat supaya dapat menarik penonton tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Dengan gabungan elemen silat dan fiksyen moden, Mallory menjelaskan dia melihat filem Strike: Silat Cult Master ini sebagai satu perubahan trend dalam filem aksi di Malaysia.
“Ini bukan sekadar filem seni mempertahankan diri semata-mata, tetapi juga sebuah usaha untuk membuka lembaran baharu dalam industri perfileman di Malaysia.
“Saya hara pia menjadi pencetus kepada trend baharu yang mampu memartabatkan silat di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi penonton terhadap seni mempertahankan diri ini,” ujarnya.
Akan ditayangkan di pawagam pada 13 Februari 2025, filem tersebut menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azri Safix (finalis Hero Remaja) dan Fify Azmi.
Tidak ketinggalan juga pelakon-pelakon seperti Jay Iswazir, Trisha Ooi serta Ayez Shaukat yang juga seorang penggusti tempatan yang cukup dikenali ramai.
SINOPSIS
Strike: Silat Cult Master mengisahkan tentang Izra (Aiman Ameer) sewaktu kecil terpaksa melarikan diri daripada Abil (Jay Iswazir) ketua kumpulan samseng yang turut bertindak membunuh ibunya, Salmah (Trisha Ooi). Semasa melarikan diri, Izra turut membawa sekali seutas loket misteri pemberian ibunya.
Kemudian, dia telah diselamatkan oleh Tok Rahmat yang akhirnya telah menjadi guru silatnya. Setelah dewasa, dia pergi mencari Abil untuk membalas dendam atas kematian ibunya. Semasa pencarian berkenaan, dia telah bertemu dengan beberapa individu lain yang turut mahir dalam silat dan mereka bergabung untuk menumpaskan Abil.
BARISAN PELAKON
AIMAN AMEER | – Izra | |
FIFY AZMY | – Suzan | |
AZRI SAFIX | – Kris | |
JAY ISWAZIR | – Abil | |
MUHAMMAD LOKMAN | – Tok Rahmat | |
SEELAN MANOHERAN | – Asura | |
AYEZ SHAUKAT | – Malik | |
MANVIN KHERA | – Songkro | |
COLLEEN AUGUSTINE | – Nakira | |
TRISHA OOI | – Salmah | |
FITRI FAROUK | – Bartender | |
IQBAL RIEZKY HAIKAL | – Izra (kecil) | |
MIRZA IDZ FIRTHS ABDUL AZIZ | – Kris (kecil) | |
LIM KOET YENN | – Suzan (kecil) |